Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pelakon Hollywood Nak Belajar Silat Dengan Fad Anuar - "Saya Tak Sangka Dia Follow IG Saya"

Asyraf Roslan
23/08/2024 02:55 MYT
Pelakon, Fad Anuar berkongsi dilamar pelakon Bad Boys 2, Dennis McDonald untuk mengajar seni persilatan bagi projek filemnya akan datang.

“Follow” Fad di Instagram

Menurut teraju filem Pungut, dia pada mulanya tidak mempercayai menerima kiriman mesej daripada pelakon Hollywood itu di laman instagram.

Fad turut memaklumkan bahawa dia tidak mengikuti McDonald sebelum ini jadi apabila menerima mesej berkenaan dia terkejut.

“Saya tak sangka dia mengikuti saya di IG dan hantar mesej kepada saya mengatakan sedang mencari seni bela diri yang sesuai untuk filem terbaharu.

“Saya rasa dia jumpa saya saya di IG menerusi kata pagar silat yang saya letak di video yang saya muat naik.

"Disebabkan ada hantaran menyatakan saya di New York, itu yang McDonald ingat saya berpangkalan di sana. Tapi, saya jelaskan kepadanya yang saya berada di Malaysia,” katanya ditemui pada sidang media filem Pungut di GSC Mid Valley pada Rabu.


Tambah Fad lagi, dia mencadangkan supaya McDonald untuk belajar persilatan Melayu kerana dia akan menjadi pelakon kulit hitam pertama yang belajar dan bersilat dalam filem antarabangsa.

Belum capai kata putus


Cuma buat masa kini, pelakon yang sinonim dengan filem aksi itu menyatakan masih dalam fasa perbincangan dan belum ada kata putus dari pihak McDonald kerana beliau sedang sibuk.

“McDonald tengah sibuk dengan jadual kerja yang ketat dan perkara ini perlu dibincangkan dengan syarikat pengurusan beliau,” ujarnya.

Bagi Fad, dia bersedia untuk berlatih bersama McDonald tidak kira secara bersemuka ataupun maya.

Apa yang penting adalah dia boleh membawa seni persilatan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus membawa Malaysia ke mata dunia.

Fad ditemui media selepas Malam Gala Tayangan filem Pungut arahan Areel Abu Bakar yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos ini.

Selain Fad, filem Pungut ini turut dibintangi oleh bekas pesilat negara, Ruzaidi Abdul Rahman, Aman Graseka, Megat Shahrizal, Yusran Hashim, Aliff Yasraff dan ramai lagi.
#Fad Anuar #Silat #Bad Boys 2 #Dennis McDonald