Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pelakon Jit Murad Meninggal Dunia

Awani
12/02/2022 10:34 MYT
Penulis, pelakon teater dan filem terkenal, Jit Murad dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.

Berita pemergian Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan, disahkan oleh beberapa teman rapat Allahyarham.
Setakat ini, punca sebenar kematian Jit masih belum dikenal pasti.

Jit yang merupakan anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor mula bergiat aktif dalam filem, televisyen dan teater pada 1987.

Beliau juga merupakan abang kepada penerbit filem, Na’a Murad.

Antara produksi teater popular yang ditulis serta dibintangi oleh Allahyarham termasuk “Spilt Gravy On Rice” (1995), “The Storyteller” (1996) dan“Gold Rain and Hailstones” (2002).

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang Sosiologi (Pengajian Bandar) dan Ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah.

Sepanjang kariernya, Allahyarham disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik.

Beliau turut dikenali sebagai seorang penulis yang prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah termasuk di Anugerah Boh Cameronian.

Allahyarham pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dari industri kreatif Malaysia termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.

Beliau pernah membintangi filem, "Selubung", "Mimpi Moon", "Talentime" dan 1957: Hati Malaya.

Sumber: Astro Awani

#Meninggal Dunia #Jit Murad
;