Pelakon Teejay Marquez mengintai peluang untuk melebarkan sayap kerjayanya di Malaysia.

Memulakan kerjaya di Filipina, Teejay sudah melebarkan sayap dalam bidang seni di Indonesia.

Terbaru, Teejay tampil dalam muzik video terbaru penyanyi Ayda Jebat, Better Than You.

"Saya bermula di negara kelahiran dan dikenali di Indonesia semenjak video Dubsmash tular di sana.

"Kunjungan saya ke Jakarta ketika itu membuka peluang baru dan saya diterima baik di sana.

"Saya belajar dan kini boleh bertutur dalam bahasa Indonesia. Selepas itu, saya melebarkan sayap di sana dan mula menerima tawaran berlakon sinetron.

"Tetapi, saya tidak melupakan Filipina dan turut aktif berulang alik dari Manila ke Jakarta memenuhi tawaran lakonan.

"Kini, saya bersedia untuk mengintai peluang di Malaysia selepas membintangi muzik video Ayda, Better Than You," kata Teejay.

Berkunjung ke Malaysia sempena pelancaran muzik video Mana Ada Hati dan Better Than You, ada penerbit yang sudah mula merisik Teejay.

"Saya dimaklumkan ada beberapa pihak yang sudah mula merisik sebelum memberikan tawaran lakonan kepada saya.

"Saya bersedia untuk mengembangkan kerjaya di Malaysia dan boleh belajar untuk bertutur dalam bahasa Melayu jika diberikan peluang.

"Bekerja dengan Ayda dan tenaga produksi Malaysia dalam menghasilkan muzik video memberikan saya satu dimensi baharu.

"Saya berharap dapat peluang untuk mengembangkan kerjaya di sini kerana saya sendiri gemar berkunjung dan melancong di Malaysia," katanya lagi.

Muzik video Mana Ada Hati dan single Better Than You sudah mula dilancarkan pada 29 November lalu manakala muzik video Better Than You pula akan dilancarkan pada 6 Disember ini di laman YouTube.