Pelakon filem Lord of the Rings, Ian Holm yang memegang watak sebagai Bibo Baggins dilaporkan meninggal dunia semalam.

Memetik laporan Guardian, berita dukacita itu telah disahkan oleh pihak pengurusan aktor tersebut.

"Ini merupakan satu berita yang sangat mendukacitakan, Sir Ian Holm telah meninggal dunia pagi tadi (semalam) pada usia 88 tahun.

"Dia menghembuskan nafas terakhir di hospital ditemani oleh keluarga dan petugas yang menjaganya," kata sumber.

Difahamkan, kematian mendiang adalah berkait rapat dengan penyakit Parkinson yang dihidapinya.

"Dia sangat baik, menawan dan berbakat, kami semua akan merinduinya," tambah pihak pengurusan.



Baru-baru ini, Holm mengekspresikan kesedihannya kerana tidak dapat menyertai perjumpaan secara online bersama beberapa teman industri.

Dalam satu kenyataan, dia sempat meluahkan rasa rindu dan mengucapkan selamat maju jaya kepada teman-temannya.

Holm dilahirkan pada tahun 1931 dan mula menjejak kaki dalam industri hiburan pada sekitar tahun 1957.

Sumber : Guardian