Hasrat pelakon Hollywood Mark Hamill untuk mengkritik pengasas Facebook, Mark Zuckerberg bertukar tragedi apabila tersalah menggunakan emoji Jalur Gemilang pada komentarnya.

Hamill, 68, yang sepatutnya mahu menggunakan emoji bendera Amerika Syarikat bagaimanapun telah dihujani komen dan kecaman daripada pengguna media sosial terutama netizen dari Malaysia sendiri.

Dalam kenyataan awalnya, Hamill mahu mengkritik Zuckerberg yang membenarkan iklan politik dengan fakta mengelirukan disiarkan di platform Facebook.



Hamill membuktikan mesej yang ingin disampaikan itu serius hingga pelakon itu telah menyahaktifkan akaunnya di platform Facebook.

Sementara itu, ciapan yang ditulis pada 13 Januari itu telah diulang kicau sebanyak 21,000 kali dan mendapat 177,000 tanda likes.

Kesalahan itu membuka ruang kepada netizen untuk menempelak pelakon yang popular dengan watak Luke Skywalker dalam francais Star Wars hingga ada yang mengaitkan kesalahan itu dengan situasi politik semasa negara.

Dalam kemas kini terbaharu, Hamill mengakui dihujani dengan komen dari pengikutnya di Malaysia.

"Semua mentertawakan saya kerana tersalah letak bendera Malaysia yang sepatutnya bendera Amerika Syarikat tetapi faktanya masih sama, tiada negara yang diukur kekayaannya dengan wang," tulisnya bersama #HammyHeartsSoutheastAsia.