Pelakon veteran Mohd Idris Mohd Diah atau lebih dikenali sebagai Idris Mat Diah dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Presint 9, Putrajaya, awal pagi tadi.

Khabar duka turut tersebut dikongsi rakan pelakon Zulkifli Ismail di laman sosial Facebook(nya) kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin.

Sementara itu anak Allahyarham dikenali sebagai Alia memaklumkan, ayahnya ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 2 pagi tadi.

Mereka kemudiannya menghubungi pihak ambulans dan disahkan telah Idris meninggal dunia jam 2.30 pagi.

Alia turut memberitahu, dua tiga hari ini Allahyarham tidak mempunyai selera makan.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Faizin Taman Desa Kepong untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong, Taman Ehsan, Kuala Lumpur sebelum Zuhur.

Pelakon berusia 61 tahun ini juga, turut membintangi drama 7 Hari Mencintaiku 2, memegang watak sebagai Pak Andak.

Allahyarham yang sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu merupakan antara pelakon veteran yang cukup disegani dalam industri.

Antara drama yang pernah dilakokan Allahyarham ialah Wadi, Cinta Si Wedding Planner, 7 Hari Mencintaiku, Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir, Zahir Tak Terucap, Andainya Takdir 2 dan yang terbaru, 7 Hari Mencintaiku 2.