Laman Utama
Pelakon Wanita Rancak Cerita Buruk Pasal Rakan Seindustri Di Tik Tok, Pengarah Shahrulezad Kecewa! - "Memang Tidak La Saya Nak Bekerja Dengan Dia"
Penerbit dan pengarah Shahrulezad Mohameddin memilih untuk tidak mendedahkan identiti pelakon wanita yang leka menjaja cerita buruk apa yang berlaku di lokasi penggambaran.
Akui kecewa dengan tindakan aktres tersebut, Shahrulezad atau mesra disapa sebagai Budak Ijat berkata perkongsian itu akan membuatkan orang industri seni terus dibenci serta dipandang serong oleh masyarakat.
"Tujuan saya muat naik perkongsian itu bukan nak marah dia tapi sebagai teguran. Saya tak nak sebut nama dia sebab kalau saya dedah, saya dengan dia sama saja.
"Dalam keadaan sekarang ini, ramai orang tertekan... sehingga ada yang maki pemimpin, ulamak dan golongan industri juga menjadi kebencian orang. Apa yang dia buat itu seperti dedah aib keluarga sendiri.
"Saya rasa sedih dan kecewa apabila artis sendiri yang menjaja cerita buruk rakan seindustri. Dia menunjukkan betapa kotornya industri dan memburukkan lagi dunia seni," katanya.
Tambah Shahrulezad, dia tidak pernah bekerjasama dengan pelakon tersebut sepanjang mengarah.
Malah tegasnya, dia tidak akan bekerja dengan individu itu kerana khuatir akan menjadi mangsa umpatan.
"Bila macam ini, sudah tentu orang takut nak dekat dan takut nak ambil dia kerja. Saya tak pernah bekerjasama dengan dia tapi bila macam ini, memang tidak la saya nak bekerja dengan dia.
"Rasa-rasanya, mesti pelakon lain pun takut nak kawan atau kerjasama dengan dia. Takut depan-depan nampak baik, belakang kutuk dan sebarkan aib kepada umum," kata Shahrulezad.
Dalam pada itu, Shahrulezad menyatakan tindakan pelakon wanita itu berkongsi perkara negatif kepada umum akan memakan diri sendiri kelak.
"Apa motif dia kongsikan perkara itu kepada umum? Dia nak jadi content creator ke pelakon? Dia tak sedar ke apa yang dia buat itu sebenarnya menutup periuk nasinya sendiri," katanya lagi.
Terdahulu, pengarah drama Nur itu memuat naik status menegur sikap pelakon wanita yang membuka pekung kisah buruk di set penggambaran menerusi aplikasi TikTok miliknya.
"Tentang seorang pelakon wanita ini yang suka bercerita hal pekung set shooting dia kat Tik Tok sebagai content. Mula-mula abam tak kisah sangat. Yer lah dia cerita pasal pengalaman dia kan. Hak dia lah. Acc tiktok dia pun.
"Tapi sejak akhir ini abam tengok dia makin galak pula membuka pekung set dia pada umum demi meraih likes dan views. Habis segala cerita buruk ‘rumahtangga’ kami didedahkan pada umum dan ada yg dah jadi viral.
"Abam cakap jadi viral sebab ramai dah yang send abam video Tik Tok beliau ‘mengumpat’ perangai artis dan pengarah tertentu secara terbuka," tulisnya di Instagram (IG).