"Pelaku Wajib Diseksa Sebelum Mati" - Sharnaaz Mahu Keadilan Untuk Mendiang Nora Anne

Amri Hassan
Ogos 14, 2019 13:01 MYT
Kisah misteri kehilangan dan insiden yang membabitkan remaja perempuan dari Ireland, Nora Anne Quoirin menarik perhatian pelbagai pihak termasuk golongan selebriti.
Pelakon Sharnaaz Ahmad antara individu yang lantang bersuara menuntut keadilan terhadap Nora Anne.
Menerusi entri di Instagramnya, pelakon filem Darah Panas itu mahu pesalah dijatuhi hukuman setimpal dan menderita seandainya insiden itu berpunca daripada tindakan tidak berperikemanusiaan.
"Berehatlah duhai Nora Anne. Berat menerima berita ini, tapi harap keluarganya tabah.
"Pelaku wajib mati dan diseksa sebelum mati.
"Kerajaan jangan sesekali sebut pasal hapuskan hukuman mati. Mustahil!" tulis Sharnaaz.
Nora Anne, 15, dilaporkan hilang dari sebuah resort sejak 10 hari lalu hingga mencetuskan tanda tanya semua pihak.
Selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan, polis menemui mayat wanita berkulit putih kira-kira 2.5 kilometer dari lokasinya hilang.
Walaupun tiada pengesahan tentang punca kematian remaja itu, namun ramai yang bersetuju dengan kata-kata Sharnaaz yang mahukan keadilan sewajarnya.
Namun, ada segelintir netizen yang menasihati orang awam agar tidak terlalu cepat membuat spekulasi terhadap insiden tersebut.
Keputusan bedah siasat Nora Anne sehingga kini masih belum dimaklumkan kepada umum.
#Viral #Sharnaaz Ahmad #Viral #Nora Anne Quoirin