Pelanggan Arab Saudi Hubungi Cosry, Mahu Beli Gaun Resepsi Anzalna
Pelanggan dari Arab Saudi berminat untuk membeli gaun resepsi yang disarung pelakon Anzalna Nasir pada 27 Februari lalu dengan harga USD 25,000. (RM102,537.50)
Menerusi entri di laman Instagram pelukis gaun resepsi pelakon popular tersebut, Alia (@gerekitualia), pelanggan dari luar negara itu menghubungi pereka fesyen Cosry, Teuku Putra Aziz untuk membeli baju yang dipakai Anzalna.
Sementara itu, Anzalna ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu sudah maklum tentang perkara tersebut.
“Sebenarnya, dari pihak Cosry sendiri, mereka berjanji mahu memberi saya gaun tersebut sebagai hadiah perkahwinan. Saya rasa sangat berterima kasih kerana Cosry sebagai penaja mahu hadiahkan terus gaun itu kepada saya.
“Saya sendiri sedar kos pembikinan gaun tersebut bukannya murah dan ianya juga sangat istimewa kerana dilukis sendiri oleh dua orang anak muda berbakat. In return, saya menempah baju ahli keluarga saya untuk majlis resepsi dengan Cosry.
“Semenjak malam resepsi, gaun saya terus menjadi perhatian pengguna laman sosial. Bukan sahaja di Malaysia, malah gaun tersebut juga mendapat perhatian di blog-blog fesyen luar negara. Beberapa hari selepas itu, saya ke butik Cosry untuk menghantar gaun tersebut kerana mereka mahu menjadikan gaun saya sebagai display di hadapan butik mereka,” kata Anzalna.
Tambah Anzalna, ada pihak yang menghubungi Cosry untuk menempah baju yang sama seperti apa yang digayakan oleh Anzalna.
“Tiga hari selepas majlis selesai, saya dimaklumkan yang ada pelanggan dari Sarawak menghubungi pihak Cosry. Pelanggan itu mahu menempah gaun baru tetapi dia mahu rekaan yang sama seperti saya gayakan.
“Malam tadi pula, pihak Cosry hubungi saya dan mengatakan yang ada pelanggan dari negara Arab Saudi mahu membeli baju yang telah saya pakai. Saya ingatkan main-main sahaja, rupa-rupanya perkara ini serius. Saya terkejut kerana pelanggan itu meletakkan harga USD 25,000 terhadap baju tersebut.
“Pelanggan itu mahukan gaun yang saya pakai di majlis resepsi itu kerana mereka sudah tertarik dengan rekaan gaun tersebut. Pelanggan tersebut tidak mahu gaun baru kerana takut detailing yang ada pada baju tersebut nanti tidak sama dengan yang asal,” katanya lagi.
Namun begitu, Anzalna sendiri mahu menyimpan gaun resepsinya kerana memori baju tersebut lebih dari segala-galanya.
“Saya mahu menyimpan gaun ini kerana ianya istimewa bagi saya. Gaun ini memberi memori indah yang tidak boleh saya beli di mana-mana tempat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal mengerjakan ibadah Umrah bersama suami tercinta pada April ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal