Pelanggan Astro kini boleh menikmati Awesome TV, saluran televisyen percuma (free-to-air) terbaru di Malaysia di saluran 123 HD.

Mula bersiaran di saluran 123 HD pada 18 Januari lalu, pelanggan dan penonton setia Astro boleh menonton kandungan tersendiri yang dihasilkan secara dalaman (in-house) di Awesome TV, termasuk drama bersiri, rancangan hiburan dan komedi.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berharap Awesome TV akan dapat terus menarik hati dan menambat lebih banyak lagi penonton dengan kemunculan mereka di Astro.

“Awesome TV telah mencatat jumlah penonton yang memberangsangkan sejak pelancarannya pada 3 Ogos 2020.

“Malah saluran ini telah berjaya memperoleh peningkatan penonton sebanyak enam peratus (6%) di antara 3 Oktober hingga 12 Disember 2020, menjadikannya saluran percuma (free-to-air) kedua tertinggi untuk penonton Melayu,” katanya.

Antara yang sedang ditayangkan di saluran Astro 123 HD ialah termasuk drama bersiri popular Korea, The Good Witch dan bermacam-macam lagi program menarik terbitan Awesome TV seperti One Two Hantu, Oops Terkena, dan Ohsem!!!

Saluran ini boleh didapati oleh semua pelanggan Astro, Astro Njoi dan Astro On Demand secara Definisi Tinggi (HD), serta ia juga kekal di Saluran 112 di MYTV.