SUKAN
Pelari Maraton Tertua Dunia Maut Dilanggar Kereta
Warga emas yang dipercayai sebagai pelari maraton tertua dunia dilaporkan maut selepas dilanggar kereta.
Fauja Singh, meninggal dunia di Punjab, India pada usia 114 tahun selepas dilanggar kereta sewaktu cuba melintas jalan.
Media India melaporkan Fauja yang merupakan seorang pelari maraton British mengalami kecederaan parah dalam insiden yang berlaku di kampung halamannya di Beas Pind, berdekatan Jalandhar di Punjab.
Kelab larian dan kebajikan yang diasaskan Fauja di London, Sikhs in The Citty turut mengesahkan kematian pelari tersebut dan menyebut acara yang bakal diadakan di Ilford, Barat London akan meraikan pencapaian sepanjang hayat mendiang, lapor Th Independent.
Fauja yang menetap di Ilford sejak 1992 telah memecahkan banyak rekod maraton pada usia tua.
Mendiang yang tidak boleh berjalan dengan baik sehingga usia lima tahun mula melakukan sukan larian kerana bersedih selepas kematian isteri dan anaknya pada awal 1990-an.
Dia kemudian mula memasuki pertandingan maraton pada usia 89 tahun di London pada tahun 2000.
Pada usianya 100 tahun, Fauja mencetak rekod menyudahkan pertandingan Toronto Waterfront Marathon dalam tempoh lapan jam.
Walaupun Guinness World Records tidak mengiktiraf mendiang kerana masalah tarikh lahir di surat beranak namun pasport miliki Fauja mencatatkan 1911 sebagai tahun kelahirannya.
Fauja berhenti menyertai larian maraton pada tahun 2013 selepas menyertai pertandingan 10 kilometer di Hong Kong.