Peluang Menang Mudah RM500 Bersama JoHaRA

Elrafaei Sapi
September 28, 2018 06:56 MYT
Peminat segmen JoHaRa Pagi ERA iaitu gandingan penyampai radio terdiri daripada Johan, Ray dan Haniff berpeluang menang hadiah wang tunai sebanyak RM500 dengan cara mudah menerusi program Johara Tour yang akan diadakan esok.
Program kali ini yang akan singgah Mydin Mutiara Rini, Johor Bahru dijangka berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang dirancang.
Antara yang paling mencuri tumpuan pengunjung adalah aktiviti lawan 'punchline' dengan penyampai JoHaRa.
Pengurus Kandungan Rangkaian Astro Radio (Era, Sinar, Gegar dan Zayan), Nazri Noran berkata, pengunjung yang berani boleh turut serta dalam permainan bersama penyampai JoHaRa iaitu berlawan dengan membuat 'punchline'.
"Jika pengunjung yang mengambil bahagian itu gelak dalam cabaran tersebut, dia akan kalah. Namun, jika penyampai yang gelak dia pula yang kalah dan pengunjung itu berpeluang menang hadiah wang tunai sebanyak RM500," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, dalam cabaran itu akan diberi tema tertentu yang perlu dilakukan 'punchline' antara pengunjung dan penyampai radio.
"Siapa yang berani boleh cuba nasib. Dalam pada itu, JoHaRa Tour kali ini juga menampilkan banyak persembahan buat khalayak yang hadir," katanya.
Serama 8 artis terbabit dalam memeriahkan acara ini iaitu Zizi Kirana, Haqiem Rusli, Waris, Elizabeth Tan, Wani, Ara Johari, Aiman Tino dan Syamel.
Acara yang dijangka bermula jam 2 hingga 4 petang ini juga akan menampilkan gimik daripada pelakon filem Paskal yang akan hadir sama.
"Pelakon Paskal akan datang membuat gimik. Akan ada kejutan daripada mereka esok," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @zizi_kirana & @arajohari
#JoHaRa #Era #Era #Nazri Noran