Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Peluh Tak Berhenti…” – Datuk Lee Chong Wei Kongsi Situasi Cemas Ketika Bermain Di Olimpik

Ainun
27/07/2024 11:55 MYT
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sempat berkongsi cerita ketika beliay mewakili negara sempena sukan Olimpik sebelum ini.

Chong Wei berkata, sungguhpun kerap menasihatkan atlet supaya tidak cemas ketika berdepan dengan pihak lawan dalam acara sukan, namun sebenarnya, beliau turut pernah mengalami perasaan sama.

“Saya nasihat atlet supaya jangan cemas. Tapi mustahil tak cemas. Semasa saya turun gelanggang semasa Olimpik pertama saya, walaupun bertemu Ng Wei dari Hong Kong, bergetar juga tangan saya kerana cemas.

“Peluh tak henti-henti membasahi baju yang dipakai, fikiran menjadi kusut masai. Coach (jurulatih) nampak saya gelisah, dia tahu yang saya dah cemas,” tulisnya di akaun Facebook miliknya, semalam.

Katanya lagi, jurulatihnya kemudian menelefon pakar psikologi dan motivator pasukan negara untuk memberi sedikit nasihat dan menenangkannya.

“Mamat ni pun sampai kat aku. Terus dia pegang tangan aku nak bagi kata-kata motivasi. Jason, jangan cemas, ini kali pertama kau saya tahu. Tapi Jason, teguhkan mental dan emosi, jangan cemas.


“Aku pandang coach. Coach pandang aku. Kita heran. Sejak bila nama saya Jason. Aku pun kata “Weh bro, aku bukan Jason la!,” katanya.

Ujar Chong Wei, pakar itu membalas tegurannya dan memberitahu bahawa Jason itu namanya.

“Jason ialah nama saya. Saya pun cemas juga. Ini kali pertama saya jadi ‘psychologist’ untuk acara begitu besar. Jadi sebelum saya motivasi awak, saya motivasi diri sendiri dulu,” kata psikologis itu.

Tambahnya lagi, selepas kejadian itu, cemasnya terus hilang dan mungkin itu salah satu cara psikologis menghilangkan cemas pada atlet.

“Jangan cemas, raih emas. Jangan putus berdoa dan menyokong agar skuad kebangsaan dapat kembali dengan emas pertama negara. Jangan cemas! Malaysia boleh,” katanya.

Sumber: KOSMO! ONLINE

#Datuk Lee Chong Wei #badminton #Cemas #Sukan Olimpik