Pelumba Moto2 Negara, Hafizh Syahrin yang terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring pada Ahad kini dilaporkan stabil.

Perkara itu disahkan oleh isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf menerusi Instagram Story.

"Alhamdulillah, Hafizh okay. Terima kasih kepada semua yang mendoakan Hafizh," katanya.



Hafizh yang mewakili pasukan Aspar merempuh jentera Enea Bastinni yang terjatuh ketika mengambil selekoh, menyebabkan motosikalnya mengalami kerosakan teruk dan dia terpelanting sebelum terhempas di atas litar.

Beberapa pelumba lain turut hilang kawalan dalam kejadian berkenaan.

Menurut pengurus pasukan Aspar, Gino Borsoi, Hafizh, 26, berada dalam keadaan sedar serta stabil dan kini sedang menerima rawatan di pusat perubatan litar.

"Penunggang berada dalam keadaan baik, hanya mengalami lebam terutama di bahagian pinggul, tetapi keadaan sedar," jelas Borsoi menerusi akaun Twitter.

Manakala, kata jurucakap Aspar, Jorge Martinez, pasukan itu tidak menyangka pelumba yang terlibat dalam kemalangan itu ialah Hafizh.

Pada awalnya kami tidak tahu adakah itu Hafizh. Ketika kami melihat bahawa pelumba itu adalah Hafizh, kami sangat takut kerana mereka tidak menunjukkan gambar (perkembangan lanjut) di televisyen.

"Saya bersamanya di pusat rawatan litar dan perkara pertama yang diberitahu oleh doktor kepada saya ialah dia sedar dan (kemalangan itu) tidak memberi kesan teruk di bahagian kepalanya.

"Semua imbasan yang dilakukan juga menunjukkan Hafizh tidak mengalami sebarang pendarahan dalaman dan tiada tulang yang patah atau seumpamanya," jelas Martinez menerusi satu kenyataan.

Meninjau ruangan media sosial, rata-ratanya mendoakan kesejahteraan pelumba negara itu dan mengharapkan agar segera pulih.