READ

Pemain Asia PERTAMA Terima Anugerah Puskas 2016 — Ini Kisah Ajaib MOHD FAIZ SUBRI yang Anda Tidak Tahu #KitaSamaHero!

Public Anonymous User 24/08/2017 | 09:02 MYT

Oleh: Huda Hussain

Kredit foto: ASTRO Arena, koleksi peribadi Faiz Subri & Getty Images.

MOHD FAIZ SUBRI mungkin masih bergelar pemain bola sepak Malaysia seperti pemain-pemain profesional yang lain seandainya tidak memenangi Anugerah Puskas 2016. Namun segalanya berubah hampir 180 darjah.

Berdasarkan 59.46 peratus undian yang diterima dari seluruh dunia menerusi laman web FIFA, namanya kini terpahat dalam sejarah bola sepak tempatan sebagai satu-satunya pemain bola sepak Malaysia (setakat ini) yang menempa nama dalam anugerah berprestij bagi sukan bola sepak antarabangsa.

Terbukti sepakan lencongan yang disifatkan sebagai melawan graviti itu mendapat komen dan reaksi daripada seluruh peminat bola sepak seantero dunia. Antara legenda bola sepak antarabangsa yang memberikan komen terhadap sepakan lencongan dan gol emas itu ialah Roberto Carlos, Fernando Morientes dan Marcel Desailly yang menyifatkan gol tersebut cukup cantik, menakjubkan dan tidak kurang hebat tarafnya seperti gol-gol yang pernah dijaringkan pemain bola sepak antarabangsa. InTrend kongsikan pengalaman bersejarah Faiz yang memahatkan nama Malaysia dalam persada bola sepak antarabangsa.

Sejarah penglibatan Faiz dalam sukan bola sepak, jika boleh dikongsikan?

Saya mula bermain bola sepak sejak berusia sembilan tahun lagi (ketika itu masih bersekolah dalam darjah tiga). Jika bertanya mengenai bakat, pada mulanya saya mengikut bapa pergi menonton perlawanan bola sepak sekitar Kedah.

Dan entah bagaimana, lama-kelamaan timbul minat untuk mencuba. Secara peribadi saya tidak menyangka mempunyai bakat untuk bermain bola sepak. Dan semua itu saya anggap sebagai rezeki yang Allah takdirkan untuk saya. Alhamdulillah saya bersyukur.

Selain minat, mengapa memilih sukan bola sepak dan pemain bola sepak sebagai cabang kerjaya?

Mungkin rezeki sudah tertulis dalam bidang ini. Tidak pernah saya menyangka daripada minat ia bercambah lantas berkembang dan akhirnya kini menjadi kerjaya. Dan kini sudah hampir 10 tahun saya bergelar pemain bola sepak profesional.

Dahulunya saya pernah bermain untuk kelab bola sepak seperti KSK Tambun Tulang FC (ketika berumur lingkungan 23 tahun dan ketika itu sudah mula serius bermain secara profesional), kemudian saya berhijrah ke Kedah FA, Perlis FA, T Team, Kelantan FA, Terengganu FA dan tahun ini genap tiga tahun saya bersama Penang FA.

Pernah kecewa atau berasa bahawa dipinggirkan memandangkan sebelum ini Faiz pernah mencuba nasib untuk menyertai skuad kebangsaan namun tidak berhasil?

Tidak dinafikan, saya pernah mempunyai tanggapan sedemikian. Perasaan sedih itu memang ada tetapi saya optimis dan melihatnya daripada sudut yang positif.

Biarpun tidak terpilih dan hanya ke peringkat sesi latihan sahaja, tetapi saya sifatkan mungkin rezeki dan peluang untuk saya menyarung jersi skuad kebangsaan belum berpihak untuk saya. Apa yang penting adalah saya boleh kumpulkan pengalaman sewaktu mendapatkan latihan bersama mereka biarpun tidak terpilih.

Kemenangan ini telah membuka mata banyak pihak (baik pihak Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, FAM dan lain- lain) komen Faiz?

Bagi saya setiap pemain mempunyai kualiti dan kemahiran serta potensi tersendiri untuk lebih menyerlah. Bukanlah menjadi agenda utama saya untuk tampil ke hadapan dan menonjolkan bakat tetapi saya sifatkan apa yang berlaku adalah tuah dan rezeki yang dianugerahkan Allah untuk saya.

Bukan niat saya untuk mendabik dada dengan kemenangan ini. Siapalah saya untuk memberikan pandangan atau komen mengenai hal ini. Cuma mungkin memerlukan masa dan latihan yang konsisten untuk kita gilap lebih banyak bakat yang ada pada pemain bola sepak kita.

Jika dipandang sekalipun oleh pelbagai pihak, itu merupakan satu bonus dan membuktikan sekurang-kurangnya bola sepak tempatan mempunyai kualiti pemain yang tersendiri dan boleh melangkah jauh.

Apakah kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk Faiz menyertai skuad kebangsaan atau mungkin diintai oleh kelab-kelab bola sepak luar negara mungkin?

Hahaha... Untuk saya menyertai kelab bola sepak luar negara mungkin mustahil kerana faktor umur. Saya kini berumur 30 tahun. Jika masih muda dan belum berkeluarga, mungkin saya akan memberi pertimbangan seandainya diberi tawaran.

Selain faktor umur, stamina dan tahap kesihatan fizikal juga memainkan peranan untuk beraksi bersama kelab bola sepak luar negara. Lain kelab lain cara dan pendekatan latihannya. Tetapi jika ada peluang yang datang saya sifatkan ia sebagai rezeki.

Apakah cabaran yang perlu Faiz lalui untuk berada pada peringkat ini?

Jika diimbas kembali sewaktu awal pembabitan saya dalam sukan ini, banyak perkara yang perlu saya korbankan. Apatah lagi saya bukanlah lahir daripada keluarga yang senang. Semua serba sederhana. Dan apabila meningkat dewasa cabarannya lain pula. Misalnya daripada segi latihan intensif dan konsisten.

Kebanyakannya kekangan masa bersama keluarga yang menjadi kesukaran kerana hampir kebanyakan masa diperuntukkan untuk berlatih dan memastikan stamina berada pada tahap terbaik.

Cabaran lain termasuk memastikan momentum dan cara bermain dapat dikekalkan. Pada saya itu semua menuntut disiplin dan komitmen yang tinggi untuk menyempurnakan tugas sebagai pemain bola sepak yang baik. Selebihnya tumpuan yang sepenuhnya harus diberi untuk menghadapi perlawanan.

Selesa dengan tumpuan dan perhatian yang diraih selepas kemenangan itu?

Ketika awal dahulu saya tidak nafikan rasa janggal dan kekok juga dengan perhatian yang diberi oleh hampir semua lapisan masyarakat. Liputan meluas daripada pihak media, blogger dan ramai lagi sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan fokus utama.

Sehinggakan ada ketikanya saya gusar dengan tumpuan yang diberi. Tetapi saya sering ingatkan diri agar tidak terlalu selesa dan asyik dibuai perhatian yang diterima.

Benar mereka berkongsi kegembiraan dan kebanggaan kerana akhirnya ada pemain bola sepak dari Malaysia melangkah ke peringkat dunia. Tetapi berbalik kepada realiti, sesi latihan harus dilalui seperti biasa.

Begitu juga dengan rutin harian yang lain. Sebaliknya saya selesa untuk memberi sepenuh tumpuan dan perhatian dalam sesi latihan sebagai persediaan untuk menempuh perlawanan akan datang.

Apabila ada pihak yang meletakkan harapan tinggi terhadap prestasi Faiz selepas kemenangan ini, komen?

Sememangnya ada tetapi saya tidak mudah melatah kerana tidak semestinya momentum dan prestasi terbaik mampu dikekalkan sepanjang masa atau setiap musim perlawanan.

Kita adalah manusia biasa dan bukannya robot yang boleh diprogramkan untuk mengulangi segala rutin seperti kelazimannya. Apa yang mampu saya lakukan adalah memberikan perhatian dan membersembahkan mutu perlawanan yang baik.

Pernah menerima kecaman apabila gagal membantu Pulau Pinang berada dalam kedudukan selesa untuk Liga Super Malaysia?

Itu saya sifatkan sebagai sesuatu yang lumrah kerana sudah terbiasa mendengar komen dan andaian sedemikian daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala komen membina dan pandangan yang diberi oleh kelab peminat bola sepak Penang FA.

Mungkin belum rezeki dan belum sampai masanya lagi untuk pasukan Penang FA walaupun kami sudah mencuba yang terbaik. Tetapi kami akan tingkatkan usaha, perbaiki kelemahan, mengatur strategi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk musim akan datang.

Tempoh kontrak Faiz bersama Penang FA?

Kontrak bersama Penang FA akan tamat pada tahun ini namun demikian segalanya terpulang kepada pihak pengurusan jika mereka masih memerlukan khidmat saya untuk menyambung kontrak atau tidak. Buat masa ini saya selesa bersama Penang FA dan tiada perancangan untuk berpindah ke kelab lain.

Menjadi lumrah bagi atlet yang mengharumkan nama negara menerima ‘habuan’ lumayan. Apakah iltizam yang menguatkan semangat Faiz agar tidak hanyut dan leka dengan semua ganjaran yang diperoleh?

Bagi saya ganjaran atau hadiah yang diterima adalah rezeki, syukur alhamdulillah. Ia adalah tanda penghargaan oleh pelbagai pihak yang turut sama berbangga dan gembira dengan kerjayaan yang saya peroleh.

Malah saya menyifatkan kerjayaan ini bukan milik saya sepenuhnya sebaliknya ia adalah bukti untuk meningkatkan martabat dan mutu sukan bola sepak tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan setanding dengan pemain-pemain bola sepak antarabangsa.

Bukan bermakna saya tidak berterima kasih atau ambil peduli tetapi saya sering sematkan dalam fikiran, agar dapat fokus dan cuba memberikan yang terbaik, itu sahaja.

Siapa ikon pemain bola sepak yang menjadi sumber inspirasi buat Faiz?

Jika ikon bola sepak tempatan, saya mengagumi bakat dan kemahiran yang dimiliki Yusri Che Lah dan Inderaputra Mahyuddin juga beberapa nama legenda yang lain. Pada saya setiap pemain mempunyai kekuatan dan bakat tersendiri yang menambah kelainan dan warna dalam sukan bola sepak tempatan.

Manakala ikon bola sepak antarabangsa pula, sudah semestinya Cristiano Ronaldo. Dia adalah legenda bola sepak alaf baru yang dikagumi dan disegani seluruh dunia.