Pemain Badminton Didenda RM25,000, Pukul Anjing Di Balkoni Rumah
Gempak
30/08/2024 10:25 MYT
30/08/2024 10:25 MYT
Seorang pemain badminton profesional didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada Jumaat selepas mengaku bersalah memukul seekor anjing secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya, bulan lepas.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap Samuel Lee, 21, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, jika gagal bayar denda.
Lee didakwa memukul seekor anjing baka Husky dengan tangan secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya di Landmark Residence, Kajang, antara 12.09 hingga 12.19 pagi, 1 Julai lepas, mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tindakan kejam OKS memukul anjing itu telah dirakam oleh jiran dan tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, pada 2 Julai 2024, pihak penyelamat haiwan mengambil anjing tersebut untuk rawatan di klinik veterinar, dan anjing itu didapati mengalami trauma serta ketakutan ekstrem.
Susulan itu pada 3 Julai pegawai kebajikan haiwan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor pergi ke rumah OKS namun dia tiada di rumah.
Anjing Husky yang dinamakan Kitster itu disimpan di Kota Damansara Veterinary Centre untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan menunjukkan Samuel Lee telah melanggar Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dengan melakukan penganiayaan terhadap haiwan.
BERITA TRENDING: Perbarisan Hari Kebangsaan, Netizen Paling Tak Sabar Tunggu Unit K9 - “Handsome! Siap Pakai Kasut, ‘Spek’ Mata Lagi!”
BERITA TRENDING: Tanah Jerlus Masjid India: Frankie & Denti, Wira Batang Kali Kembali Beraksi
BERITA TRENDING: Keluarga Tak Mahu Tunai Wasiat Mendiang Alain Delon Dikebumi Bersama Anjing Hidup
BERITA TRENDING: Gara-Gara Beri Anjing Makan Berlebihan Sehingga Mati, Wanita Dihukum Penjara Dua Bulan
Terdahulu Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
"Perbuatan OKS yang kejam memukul anjing itu hingga mengalami kemurungan memerlukan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan teladan.
Kes ini telah mendapat liputan luas dan menimbulkan kemarahan awam, menunjukkan perlunya tindakan serius terhadap jenayah terhadap haiwan serta mempertimbangkan faktor kepentingan awam," katanya.
Peguam S.Rajashree yang mewakili OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya seorang pemain badminton profesional dan juga mempunyai tanggungan keluarga.
Sumber: Astro AWANI