Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Pemain Bola Afghanistan Salah Seorang Individu Yang Maut Jatuh Dari Roda Pesawat Tentera AS

Maliah Surip
21/08/2021 03:45 MYT
Beberapa hari lalu tular satu rakaman yang menunjukkan ratusan penduduk Afghanistan cuba mengejar pesawat yang meninggalkan negara tersebut sebaik Taliban mengambil tampuk pimpinan.

Antara yang menjadi perhatian adalah rakaman dua rakyat Afghanistan yang terjatuh ketika cuba berpaut pada roda pesawat yang terbang keluar dari Kabul. Kedua duanya disahkan meninggal dunia.

Terkini, BBC.com melaporkan salah seorang individu yang jatuh dan maut dikenalpasti sebagai Zaki Anwari, 19. Dia merupakan pemain bola sepak pasukan remaja Afghanistan.

Bagaimanapun pihak Afghanistan tidak memberi maklumat terperinci mengenai insiden tersebut.

Namun menerusi kenyataan yang dikeluarkan General Directorate of Physical Education and Sports Afghanistan, beliau menyampaikan belasungkawa terhadap kematian Anwari.

"Semoga dia berada di syurga dan kami menyampaikan salam takziah kepada keluarga, sahabat serta rakan sepasukannya," tulis ucapan tersebut.

Sahabat dan peminat Anwari juga dilihat meninggalkan salam takziah dan berduka di atas kematian remaja itu.

"Pemergiannya meninggalkan satu luka yang besar. Anda akan selalu dikenang," tulis seorang pengguna Instagram. 

Sebelum ini agensi berita dunia melaporkan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani juga telah meninggalkan negara itu selepas Taliban memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari.

Ashraf berkata, kumpulan pemberontak itu sudah menang selepas mereka masuk ke Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Hal yang demikian membuat rakyat takut diperintah oleh Taliban, sekaligus membuat ramai yang mencari jalam keluar dari negara tersebut.

#Meninggal Dunia #Afghanistan #Pesawat #Kabul #Taliban #Zaki Anwari