Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pemain Dram Blues Gang Meninggal Dunia Selepas 4 Hari Koma Akibat Terjatuh

Gempak
10/07/2023 08:49 MYT
Pemain dram Blues Gang, Shaik Karim, 70, disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada, pukul 1.45 petang, Isnin.

Difahamkan, Karim yang juga salah seorang pengasas Blues Gang koma sejak empat hari lalu selepas terjatuh.

Penyanyi Blues Gang, Ito Mohd, 72, ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan berita sedih itu dan mengakui merasa kehilangan terlalu besar dengan pemergian sahabat baiknya itu.

Menurut Ito, Allahyarham menghidap kencing manis dan menjalani dialisis.

"Memang sedih kerana patutnya kami akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan Blues Gang. Pemergiannya membuatkan saya rasa kami sudah tak ada.

"Ini kerana saya sendiri sangat yakin arwah akan sihat semula dan boleh kembali membuat persembahan. Banyak hal yang akan saya rindui mengenainya.

"Dari awal penubuhan Blues Gang lagi, dia adalah penyanyi pertama sebelum saya. Banyak kenangan bersamanya saya takkan lupa," katanya dengan nada sebak.

Terdahulu, pada 2019, Karim pernah mendapat perhatian peminat yang mengumpul dana untuk pembiayaan penyakit kencing manisnya itu.

Selain Karim dan Ito, Blues Gang kini turut dianggotai Ghani (keyboard) dan Julian Mokhtar (gitar).
Seorang lagi pengasas Blues Gang dan pemain bass, Jim Mandasamy meninggal dunia pada 2018.

Sumber - Harian Metro
#Karim #Blues Gang #Ito #Karim Blues Gang
;