Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Pemain Dram Lagenda, Yazit Search Meninggal Dunia

Fiza Kamarudin 26/09/2019 | 04:17 MYT
Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira pukul 11.53 pagi tadi (Khamis).
Pagi semalam (Rabu), Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi, HKL selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al-Ayubi Taman Melati, Gombak untuk dikafan dan disembahyangkan.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih selepas solat Asar.
Menurut anak Allahyarham, Shafiqa Nurlis, bapanya mengalami kerosakan otak dan hanya mampu bergantung pada mesin pernafasan sejak semalam.
Sementara isteri Allahyarham Ramlah Mat, memberitahu, suaminya mengadu sesak nafas kira-kira jam 3 pagi.
Bagaimanapun, ketika sedang mengurut badan Yazit, keadaan menjadi panik apabila mulut pemain dram itu tiba-tiba berbuih.
Dan ketika dikejarkan ke hospital jantung Yazit tiba-tiba terhenti dan terus dikejarkan ke zon merah selepas mendapat bantuan pernafasan (CPR).
Bagaimanapun pada pukul 5 petang, doktor memberitahu kepada Ramlah keadaan Yazit hanya 80:20 kerana otaknya tiada oksigen.
Mesin bantuan pernafasan Yazit dihentikan di hadapan ahli keluarga dan waris terdekat.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
#Meninggal Dunia #Yazit Search #Berita
;