Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pemandu Bas Rapid KL Positif Dadah

Zulaikha Yusof
17/08/2018 11:44 MYT
Pemandu bas Rapid KL yang terbabit dalam insiden rempuhan sekurang-kurangnya tujuh buah kereta di Jalan Ampang, di sini, malam tadi didapati positif dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes ini turut disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Derah Ampang Jaya di bawah Kontinjen Selangor.

"Ini kerana kes pertama berlaku di kawasan Ampang sebelum masuk di kawasan ibu negara.

"Kes masih dalam siasatan dan pemeriksaan mendapati pemandu bas ini berada di dalam pengaruh dadah jenis syabu semasa memandu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah -Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Perasmian Pondok Bit Polis Bantuan di KLCC, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya juga akan menyemak sama ada pemandu bas berusia 32 tahun itu memiliki rekod dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, dilaporkan sekurang-kurangnya empat cedera selepas tujuh kereta dilanggar bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Datuk Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Video sepanjang 1 minit 40 saat mengenai kejadian itu tular menunjukkan bas berkenaan dipandu dengan laju apabila dikejar penunggang motosikal.

Penunggang motosikal itu memaki hamun pemandu bas berkenaan yang dikatakan melanggar ibunya, sebelum pemandu bas terbabit melarikan diri apabila kenderaan itu tidak bergerak selepas merempuh kenderaan lain.

Sumber: Sinar Harian
#Bas Rapid KL #Rempuhan
;