Seorang pemandu kereta Proton Waja yang merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, di sini sehingga memaksa polis melepaskan beberapa tembakan, berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Berdasarkan semakan, suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Pun begitu, polis masih lagi mengesan seorang lagi rakan suspek, dikenali sebagai 'Bob Mah Sing', berusia 40-an yang masih lagi bebas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari, kedua-dua lelaki tidak mengendahkan polis ketika diminta keluar daripada kenderaan ketika pemeriksaan dilakukan.

Sebaliknya kata beliau, mereka bertindak memecut kenderaan berkenaan lalu merempuh beberapa kenderaan yang berada di hadapan laluan yang sama bagi meloloskan diri.

"Cubaaan mereka untuk merempuh kereta peronda polis berhampiran Bulatan Sierramas, Sungai Buloh, memaksa salah seorang daripada anggota melepaskan tembakan ke arah kedua-dua tayar kenderaan itu.

"Kenderaan suspek kemudian cuba memecut ke arah Kuala Selangor-Sungai Buloh, namun begitu kereta itu ditinggalkan di tepi jalan ekoran kebocoran pada tayar.

Nik Ezanee memberitahu, polis turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dalam kenderaan yang ditinggalkan itu.

Beliau memberitahu, suspek yang dtahan itu akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman.



Terdahulu, sebuah video tular memaparkan sebuah kereta merempuh beberapa kenderaan lain di Bulatan Sierramas, Sungai Buloh di sini dalam usaha melarikan diri dari polis.

Menerusi video berdurasi satu minit 45 saat itu, dua anggota polis dipercayai terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta selepas dua lelaki enggan menyerah diri.

Sumber & Foto: AWANI