Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Pemandu Trak FRU Menangis, Luah Rasa Bersalah Kehilangan 9 Rakan Seangkatan

Gempak 16/05/2025 | 00:13 MYT

Pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragik yang meragut sembilan nyawa rakan setugasnya pada Selasa lalu meluahkan rasa bersalah dan terlalu sedih atas apa yang berlaku.

Berkongsi luahan itu, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkata suaminya, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, hanya mengetahui sepenuhnya mengenai kejadian tersebut selepas sedar daripada rawatan dan dimaklumkan tentang kematian rakan-rakannya pada Khamis.

“Dia baru tahu sembilan kawan dia meninggal semalam. Dia menangis dan beritahu saya yang dia rasa sangat bersalah dan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Dia minta maaf kepada rakan-rakannya.

“Malah, dia terus buat panggilan video kepada Koperal Nizam Tarmizi dan memohon maaf. Dia juga sempat berjumpa Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli untuk memohon maaf,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Nor Ain, dalam kesedihan itu, rakan-rakan setugas suaminya tetap hadir memberikan sokongan moral agar dia tidak terus dirundung rasa bersalah.

Mengulas keadaan suaminya, Nor Ain berkata Mohd Harrisul yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan semakin pulih selepas mengalami kecederaan di kepala serta beberapa tulang rusuk patah.

“Alhamdulillah, dia sudah sedar sepenuhnya dan boleh berjalan ke tandas sendiri.

“Tetapi apabila ditanya tentang kejadian itu, dia langsung tidak ingat apa-apa kerana sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di hospital,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

Sumber: Sinar Harian

#Kemalangan #Lori #Karak #Anggota FRU