Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Pemandu Wanita Rempuh Tiga Pelajar UiTM Dungun Hingga Maut Dipercayai Tidak Siuman

Gempak
10/10/2024 01:20 MYT
Pemandu wanita yang merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun sehingga menyebabkan tiga daripadanya maut dan seorang cedera parah dipercayai tidak siuman.

Mangsa alami cedera parah


Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan jam 7.35 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun pada Rabu.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan dua buah motosikal Yamaha jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC.

Katanya, mangsa yang maut ialah pelajar tahun 2 UiTM Dungun (Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan), Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang beralamat di Ayer Hitam, Muar Johor.

Beliau memberitahu, dua lagi mangsa masing-masing pelajar tahun 2 jurusan Sarjana Muda Sains Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 berasal dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20 dari Ampang, Selangor.

"Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher, cedera di kepala dan dada sert disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Rempuh bahagian belakang motosikal


Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dari arah yang sama iaitu dari Kuala Dungun menghala ke Pantai Teluk Gadung.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba SUV tersebut telah merempuh bahagian belakang dua motosikal yang berada di laluan sama.

"Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.


"Seorang mangsa yang parah iaitu pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurut Rukiman, suspek wanita berusia 49 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Sinar Harian
#Kemalangan #UiTM #Pelajar #Maut #Rempuh #Tak Siuman
;