Pembaca Berita Raymond Goh Meninggal Dunia, Dikebumi Di Bukit Kiara

Maliah Surip
September 12, 2023 06:30 MYT
Pembaca berita Nightline TV3, Raymond Goh meninggal dunia sekitar pukul 10.40 pagi tadi.
Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum itu, Allahyarham dilaporkan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Berita pemergian Raymond disahkan keluarga Allahyarham dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Menurut isteri Allahyarham, Faridah Teh, solat jenazah akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, selepas solat Asar hari ini.
Raymond memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O'clock News dan kemudian beralih kepada siaran Nightline di stesen televisyen berkenaan.
Allahyarham telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan.
Sumber: Astro Awani
#Pembaca Berita #Meninggal #Raymond Goh