Pakar kesihatan Hong Kong memberi amaran bahawa wabak koronavirus boleh menjadi lebih teruk jika langkah asas prapencegahan epidemik global tidak ditingkatkan.

Menerusi laporan Astro Awani, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Hong Kong, Prof Gabriel Leung, menjelaskan langkah kuarantin dan menyekat perjalanan setakat ini belum memadai untuk menangani risiko penularan virus.

Menurutnya, di Wuhan saja, pembawa virus dikhuatiri boleh menjangkau sehingga 44,000 orang tanpa disedari, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Jumlah itu adalah jauh lebih tinggi daripada yang diisytiharkan oleh China, dan bilangannya boleh berganda setiap enam hari," katanya.

China bagaimanapun tidak memberi respons terhadap anggaran Leung.

Difahamkan, di Hong Kong sahaja, daripada hampir 400 orang yang disyaki dijangkiti koronavirus, hampir separuh daripadanya kini menerima rawatan di hospital.

Untuk rekod, novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berpunca dari Wuhan, China telah membunuh lebih 80 mangsa dan sekitar 3,000 mangsa didapati positif.

Sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kecemasan kesihatan awam di China.