Tayangan khas filem The Garden of Evening Mists (TGOEM) di mmCineplexes, e-Curve, Petaling Jaya, Selangor berlangsung dengan cukup meriah malam tadi.

Tayangan khas tersebut diadakan khusus buat pembaca novel asal tulisan Tan Twan Eng, yang kemudian diadaptasi menjadi sebuah filem.

Sekaligus, mereka menjadi antara penonton bertuah di negara ini yang berpeluang untuk menyaksikan filem berkenaan sehari lebih awal!

Sebanyak tiga dewan panggung disediakan khusus buat pembaca novel yang diterbitkan pada tahun 2012 itu.



Filem TGOEM memulakan tayangannya secara serentak di tiga buah negara, Malaysia, Singapura dan Brunei hari ini.

Antara nama besar yang menjayakan filem tersebut termasuklah Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After The Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

Terdahulu, filem yang mendapat sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-56 itu sudah mula ditayangkan di Taiwan dan Hong Kong.

BACA: The Garden of Evening Mists Menang Anugerah Rekaan Kostum & Solekan Terbaik, Anugerah Golden Horse ke-56

Ia mengisahkan kehidupan wanita bernama Teoh Yun Ling (Sinje Lee) yang mahu membina taman Jepun demi mendiang adiknya, Teoh Yun Hong.

Bagaimanapun, Yun Ling kemudian menjalin hubungan terlarang dengan tukang kebun Jepun, Nakamura Aritomo (Hiroshi Abe).

Apapun, bagi mengetahui kesudahan kisah mereka, jangan lupa saksikan The Garden of Evening Mists di pawagam berdekatan anda bermula hari ini!