Laman Utama
Pemberian Dos Ketiga Vaksin COVID-19 Dijangka Bermula Bulan Hadapan
Pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 dijangka akan diberikan kepada golongan rentan dan berisiko dijangkiti wabak berkenaan bermula Oktober ini.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, golongan yang dimaksudkan itu adalah warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan, golongan kurang daya imun, termasuk mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.
"Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.
"Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun," katanya pada Ahad.
Tambah Khairy, banyak negara luar telah memulakan dos penggalak vaksin COVID-19 seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura bertujuan untuk mempertingkatkan lagi imun tubuh terhadap wabak berkenaan.
Bagaimanapun, Khairy mengatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum memutuskan sama ada untuk memberikan dos penggalak kepada semua individu di negara ini.
"Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu," katanya.
Khairy juga berkata, pihaknya juga telah mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan sebagai penggalak.
"Buat masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin untuk didaftar di bawah NPRA, dos ketiga ini perlu dapat kebenaran NPRA, sebab NPRA hanya bagi kebenaran contohnya kepada Pfizer, AZ (AstraZeneca), Sinovac (hanya dibenarkan diberi) dua dos sahaja," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan pemberian penggalak vaksin COVID-19 bagi meningkatkan usaha perlindungan golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik itu.
Sumber: BERNAMA
Foto: AWANI