Kisah seorang penduduk Orang Asli, Amran Ronggi, yang tular di media sosial bulan lalu kerana motosikalnya terbakar pernah mendapat perhatian daripada Ustaz Ebit Lew.

Ketika itu Amran dalam perjalanan menuju ke Baitulmal untuk mendapatkan bantuan sebelum motosikal miliknya tiba-tiba terbakar.

“Saya amat bersyukur dengan pemberian motosikal ini bagi menggantikan motosikal lama yang terbakar di Plaza Tol Senai. Sejujurnya, saya tidak mengenali siapa Ustaz Ebit Lew kerana saya memang tidak aktif di media sosial.

“Namun, pemberian ini amat bermakna kerana ia disampaikan sendiri oleh ustaz yang sanggup datang ke rumah saya.

“Jika mahu membeli motosikal baharu, mungkin saya perlu mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk mengumpul duit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor.

Pada 16 November lalu, Amran bersama dua orang anaknya menunggang motosikal untuk mendapatkan bantuan sebelum tersesat jalan.

Ketika tiba di Plaza Tol Senai, motosikal ditunggangnya tiga beranak itu tiba-tiba terbakar sebelum seorang anggota polis membantu memadamkan kebakaran itu.

Rakaman video kejadian tular di media sosial sehingga menarik perhatian Ebit Lew yang terus mengunjungi Amran untuk menghulurkan bantuan, termasuklah sebuah motosikal baharu.

“Pemberian motosikal ini amat bermakna dan saya mahu menjaganya dengan baik.

“Sebab itu juga saya menyimpan motosikal ini di dalam rumah bagi memastikan ia tidak dicuri.

“Insya-Allah saya akan jaga dan gunakan motosikal ini dengan sebaik-baiknya, saya juga mahu bekerja lebih keras untuk membantu ekonomi keluarga,” katanya.

Ustaz Ebit Lew turut berkongsi kisah pembelian motosikal tersebut di Instagram miliknya.

"Saya belikan motor baru hadiahkan untuk abang ini serta sedikit duit belanja. Kami juga bawa barang dapur untuk 84 keluarga disitu. Beras dan barang dapur dari Elewsmart," tulis Ebit Lew pada satu entri video di Instagram.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Ustaz Ebit Lew yang terkenal sebagai pendakwah dan usahawan sentiasa membantu mereka yang di dalam kesusahan dan sangat disenangi oleh rakyat Malaysia.

Sumber: Kosmo! & Instagram Ebit Lew
Kredit Gambar: Kosmo! & Instagram Ebit Lew