“Pembukaan Perjalanan Udara Diumumkan Waktu Terdekat”- Tak Sabar Melancong? AirAsia Dah Ready Untuk Terbang!
Selepas lama berehat susulan pandemik Covid-19, AirAsia Group kini bersedia untuk kembali ‘terbang’ dengan dibarisi kakitangan barisan hadapan yang telah divaksin sepenuhnya.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes.
Menurutnya, langkah-langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan yang tertinggi sedang giat dijalankan menjelang pembukaan perjalanan udara yang dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.
"Kami bersedia untuk kembali terbang dan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang ketat.
“Kami mewajibkan semua kakitangan operasi dan barisan hadapan seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya sebelum kembali bertugas," katanya.
Jelasnya, dengan penambahan protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat para penumpang akan lebih terjamin apabila mereka kembali terbang bersama AirAsia nanti.
"Lebih daripada 50 negara di seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin.
“Selaras usaha mempercepatkan proses vaksinasi di ASEAN, kita berharap negara-negara ini akan melonggarkan sekatan perjalanan terhadap para pelancong yang telah divaksinasi untuk perjalanan domestik dan antarabangsa serta meneruskan rancangan gelembung perjalanan,” katanya.
Tambahnya, bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh prosedur di lapangan terbang, para tetamu AirAsia digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui platform airasia super app dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik untuk mengelakkan bayaran perkhidmatan di kaunter.
“AirAsia turut menyediakan pelbagai pilihan pembayaran secara digital dan menerima pas masuk elektronik di semua lapangan terbang.
“AirAsia turut mengintegrasikan sistem daftar masuk melalui airasia super app dengan aplikasi kesihatan digital MySejahtera oleh kerajaan Malaysia untuk menjadikan prosedur daftar masuk kendiri lebih mudah dan lancar,” katanya.
Sumber : BERNAMA