Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pemergian Siti Sarah Dapat Perhatian Media Hollywood

Asraf Aided
12/08/2021 09:10 MYT
Pemergian penyanyi Siti Sarah Isnin lalu sememangnya meninggalkan kesan kepada orang ramai.

Bukan sahaja media tempatan membuat liputan tentang berita duka itu, malah ia turut mendapat perhatian hingga ke Hollywood.

Menerusi tinjauan Gempak malam tadi, platform Instagram media gergasi E! News turut mengekspresikan kesedihan atas kehilangan Allahyarhamah.

"Komuniti muzik telah kehilangan sebutir bintang. Penyanyi Siti Sarah meninggal dunia disebabkan COVID-19 beberapa hari selepas melahirkan anak keempat," tulis di ruangan kapsyen.

Entri berkenaan mendapat perhatian ramai termasuk rakyat Malaysia yang berdukacita.

A post shared by E! News (@enews)


Selain E! News, pemergian Siti Sarah turut mendapat liputan media antarabangsa lain seperti BBC News, People dan Independent.

Terdahulu, Siti Sarah bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi, Isnin.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus pada malam Jumaat, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus pada Ahad.

Namun ketika bacaan yasin secara maya menerusi aplikasi Zoom malam Ahad, suami Allahyarham, Shuib memaklumkan paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga paras 30 peratus.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, juga disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
#Hollywood #Siti Sarah #E News #Liputan Media Luar Negara #Pemergian Siti Sarah #Siti Sarah Meninggal
;