VIRAL
Pemilik Gagal Bayar Hutang, Kucing Kena Lelong RM294
Seekor kucing baka Dragon Li berusia tiga tahun bakal dilelong oleh Mahkamah Yangzhou, Wilayah Jiangsu pada 3 September depan selepas pemiliknya gagal membayar hutang.
Menurut laporan Epoch Times, notis lelongan itu telah diterbitkan di laman web Alibaba dengan harga permulaan RMB500 (RM294).
Kucing jantan bernama Meiqiu itu sebelum ini dimiliki sebuah syarikat yang dipercayai membuat pinjaman RMB3.958 juta (RM2.32 juta) daripada sebuah bank pada 2017.
Pada 2022, mahkamah merampas semua aset syarikat berkenaan termasuk Meiqiu yang dinilai kira-kira RMB714 (RM420) disebabkan kegagalan pembayaran semula.
Sejak itu, Meiqiu ditempatkan di bawah jagaan sebuah kedai haiwan peliharaan dan telah tinggal di sana selama lebih dua tahun.
Walaupun nilai pasaran haiwan itu rendah, kos penjagaannya selama tempoh tersebut dilaporkan mencecah lebih RMB20,000 (RM11,759).
Bagaimanapun, mahkamah menjelaskan pembida yang berjaya tidak perlu menanggung kos itu kerana ia telah dibayar pihak bank.
Lelongan tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen yang berpendapat haiwan peliharaan tidak wajar dianggap sebagai harta biasa.
Justeru, ada dalam kalangan pengguna internet menubuhkan kumpulan khas dengan perancangan untuk menjaga kucing itu bersama-sama sekiranya mereka memenangi bidaan.
Mengikut Kod Sivil China, haiwan dikategorikan sebagai harta alih peribadi dan boleh dirampas serta dilelong secara terbuka.
Pada 2021, mahkamah di Shenzhen pernah melelong buaya hidup seberat 100 tan.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video