Laman Utama

“Pemimpin Salah Guna Kuasa Akan Jadi Pengkhianat Rakyat & Negara” - Sultan Sharafuddin Idris Shah

gempak
Izwan Isa
22/10/2022
09:50 MYT
Sponsor Banner
“Pemimpin Salah Guna Kuasa Akan Jadi Pengkhianat Rakyat & Negara” - Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pemimpin yang berbuat khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri akan dikutuk ALLAH SWT kerana boleh menjahanamkan negara.
Baginda bertitah menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office berdasarkan intipati khutbah Jumaat yang dibaca di seluruh masjid di negeri tersebut bertajuk 'Pemimpin dan Negara' semalam.
Titahnya, para pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak serta pengkhianat kepada rakyat dan negara.
"Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan dirinya terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan serta kemaksiatan.
"Ia melibatkan amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah serta menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
"Rosaknya pemimpin maka rosaklah negara ibarat kata pujangga, jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir," titahnya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, pemimpin berintegriti, jujur, beramanah bukan sahaja akan mengubah landskap serta ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan memacu negara untuk mencapai matlamat yang dirangka agar menjadi mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.
Titahnya, integriti berlandaskan nilai-nilai Islam berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi serta negara hari ini.
"Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan.
"Sifat jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin," titahnya.
Sumber: Sinar Harian
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live