Hiburan
Peminat Bergambar & Buka Pelitup Muka, Kecoh Iman Troye Langgar SOP Di Langkawi
Tular di media sosial dan forum hiburan mendakwa penyanyi muda yang sedang meningkat naik Iman Troye melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika membuat persembahan di Langkawi baru-baru ini.
Memetik situasi hebahan di forum berkenaan, Iman dilihat dihampiri beberapa peminatnya di pulau peranginan itu ketika sedang menghiburkan tetamu yang hadir.
Dalam gambar dan video yang tular itu, beberapa peminat wanita mendampingi Iman dan berselfie tanpa memakai pelitup muka.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan khalayak kerana bukan sahaja perbuatan tersebut melanggar SOP, tetapi lokasi terbabit juga antara destinasi 'panas' penularan virus Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Untuk mendapatkan gambaran jelas, Gempak menghubungi Iman Troye melalui pihak pengurusannya, XO House.
Pihak Iman menegaskan majlis yang dihadiri Iman pada ketika itu mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun pada ketika situasi (bergambar dengan peminat) itu hanya berlaku beberapa saat dan berada dalam keadaan terkawal.
"Acara itu memang ikut SOP sepanjang berlangsung. Namun tidak dinafikan ada beberapa ketika, peminat yang datang mengambil gambar dan membuka pelitup muka," jelas wakil pengurusan Iman, Adib.
Jelas Adib lagi, demi menjaga SOP dan mengelakkan keadaan tidak terkawal tanpa diduga, Iman kemudian kembali naik ke pentas.
"Sejurus perkara itu berlaku, Iman terus naik ke pentas. Tidak ada kontrak rapat dengan mereka (peminat)," katanya.
Sementara itu, pengurusan Iman dan penganjur acara tersebut menegaskan mereka masih mematuhi SOP dan berterima kasih kepada orang ramai yang peka dengan situasi berkenaan.
Dalam masa sama, mereka meminta agar tidak memperbesarkan isu tersebut.
Menerusi tinjauan Gempak, video terbabit juga telah dipadamkan dari akaun Instagram Iman.
Must-Watch Video