Susulan berita Fendy Bakri di masukkan ke hospital kerana jangikitan paru-paru, para peminat pelakon tersebut telah mengadakan majlis bacaan Yassin.

Majlis tersebut telah diadakan secara virtual selama tiga hari berturut-turut dan mereka turut mendoakan agar Fendy diberikan kesembuhan.

“Alhamdulillah selesai baca Yassin malam ketiga. Semoga Fendy Bakry sihat selalu dan bolehlah buat live selepas ni. Nanti kitaorang masuk ramai-ramai.

“Semoga Fendy Bakry cepat sembuh dan sihat selalu.

“Semoga cepat sembuh bos,” antara kata-kata semangat yang ditulis para peminat Fendy.

Dalam pada itu Fendy ketika dihubungi mengakui berdebar ketika dimasukkan ke hospital pada Ahad minggu lalu dan tawakal dengan segala kemungkinan.

"Jujur saya fobia kalau cakap bab sakit membabitkan paru paru ini. Sebab ini bukan kali pertama, malah dulu serangan dialami lagi teruk.

"Ditambah pula dengan situasi pandemik sekarang, perasaan gementar itu turun naik. Apatah lagi saya perlu membuat pelbagai saringan mengikut prosedur.

"Bayangkan di ruang kecemasan, bercampur dengan pesakit yang demam, nak buat pemeriksaan itu ini termasuk juga yang disahkan positif COVID-19, saya terdedah dengan apa saja kemungkinan. Saya hanya tawakal dan minta dijauhi perkara tak diingini," katanya.

Fendy berkata sejak dimasukkan ke hospital dia telah melakukan ujian calitan sebanyak tiga kali dalam sehari.

"Alhamdulillah keputusan ujian calitan yang dibuat negatif. Mujur juga saya sudah selesai mendapatkan dua dos suntikan vaksin sebelum ini. Jadi saya rasa vaksin yang diterima itu membantu.

"Tapi ia bukan jaminan. Saya terus berdoa supaya lekas sembuh dan cepat keluar dari hospital. Kasihan juga isteri susah hati siang malam," katanya