HIBURAN
“Peminat Jangan Risau, Saya Masih Boleh Nyanyi Dua Jam Tanpa Henti” – Zamani Slam
Penyanyi tersohor dan vokalis kumpulan Slam, Zamani tampil menafikan dakwaan kononnya tulang belakangnya kembali bengkok seperti yang tular dalam sebuah video di TikTok baru-baru ini.
Menurut Zamani, keadaan kesihatannya masih terkawal walaupun kadangkala mengalami ketidakselesaan semula pada bahagian belakang tubuh berkemungkinan kerana terlalu aktif bekerja.
Jelasnya lagi, keadaan tubuh yang sedikit membongkok dilihat dalam video tersebut bukanlah petanda penyakitnya kembali, sebaliknya satu cara semula jadi untuk mengurangkan rasa sakit.
“Saya okey sahaja. Doktor beritahu masalah tulang belakang membengkok tidak akan berulang tetapi kalau berlaku lagi, mungkin dalam tempoh lama.
“Mungkin juga sebab terlalu aktif bekerja, tulang belakang mula rasa sakit semula dan bongkokkan badan adalah untuk bantu kurangkan rasa sakit,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Slam X Exists Our Journey baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Kembali Terjalin itu meminta peminat untuk tidak terlalu bimbang kerana secara keseluruhan, tahap kesihatannya masih baik dan terkawal.
“Namun, kepada peminat, jangan risau sebab tahap kesihatan saya baik-baik sahaja.
“Memang menghadapi masalah membongkok. Rawatan yang saya lakukan sebelum ini hanya untuk membetulkan tulang belakang, masalah bongkok memang tak boleh buat apa.
“Buat masa sekarang saya sudah syukur, cuma peminat janganlah mengharapkan saya mampu kembali normal 100 peratus seperti dulu.”
“Saya tetap gembira sebab boleh menyanyi selama dua jam tanpa ada sebarang masalah. Sebelum ini, nyanyi dua atau tiga lagu, saya perlu berhenti sebab masalah kesihatan,” ujarnya lagi.
Sekadar info, Zamani bakal bergabung dengan kumpulan Exists dalam Konsert Slam X Exists: Our Journey yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 26 Julai 2025.
Untuk rekod, Zamani pernah menjalani pembedahan tulang belakang akibat skoliosis pada 7 November 2022 di sebuah hospital swasta di Cheras, dan mengambil masa berehat panjang demi fokus kepada pemulihan.
Must-Watch Video