Penyanyi berbakat, Liza Hanim mahu terus berada dalam industri hiburan dan menghasilkan produk-produk terbaru untuk peminat.

Menurut Liza, para peminatnya tidak sesekali membenarkan dia bersara sebagai seorang anak seni.

"Pada peringkat sekarang, ia bergantung kepada saya untuk terus berada dalam industri atau tidak.

"Sejujurnya, saya mahu terus berada dalam industri kerana peminat tak benarkan saya untuk bersara.

"Jadi, untuk terus berada dalam industri, kita harus sentiasa keluarkan material baru, kita kena ikut kehendak peminat masa kini dan pada masa yang sama, saya harus lakukan apa yang saya mahukan juga," kata penyanyi Gelisah Mimpi ini.

Liza berkata demikian ketika ditemui di rakaman sebuah program televisyen petang semalam.

Tambah Liza, sebagai seorang penyanyi yang agak lama berkecimpung, agak sukar untuk dirinya menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak masyarakat zaman sekarang.

"Sangat susah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan kehendak pencinta hiburan zaman sekarang.

"Memang mengambil masa untuk biasakan diri dengan perubahan itu, tetapi saya juga peminat yang turut membesar bersama saya, umur mereka pun sekitar usia saya.

"Mereka sudah biasa dengan apa yang saya lakukan, jadi, setiap seorang dalam industri yang penuh warna ini ada pengikut dan peminat yang tersendiri, bagaimanapun, kita harus ikut juga perkembangan semasa," tuturnya menutup bicara.

Difahamkan, Liza bakal tampil dengan single terbaru sekitar bulan Jun tahun ini. Sama-sama kita nantikan!