Pelakon Korea, Yoo Ah In dilaporkan menghidap tumor tulang selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan.

“Memang benar dia disahkan menghidap tumor tulang, tetapi kami tidak tahu sama ada penyakit itu serius atau pun tidak.

“Perkara ini agak sensitif untuk dibincangkan kerana melibatkan perkara peribadi tentang dirinya,” kata sumber.

Selain itu, syarikat pengurusannya juga berjanji akan memberikan kenyataan rasmi berkenaan penyakit aktor tersebut.

Yoo Ah In sebelum ini telah menjalani pemeriksaan fizikal kali ketiga pada Disember lalu kerana mengalami kecederaan pada bahagian bahunya ketika menjalani penggambaran sebuah filem.

Dalam pada itu, ada spekulasi mengatakan Yoo Ah In sengaja mereka cerita mengenai penyakitnya itu kerana mahu mengelak daripada terlibat dengan latihan khidmat tentera pada tahun ini.

Perkara tersebut bagaimanapun dinafikan syarikat pengurusannya.

“Tidak benar, kerana Yoo Ah In ingin menyertai latihan khidmat tentera tetapi dalam keadaan kesihatan yang baik.

“Dia sedang menunggu tarikh untuk menjalani pemeriksaan seterusnya,” ujarnya.

Yoo Ah In dijadualkan menjalani pemeriksaan kali keempat pada Mac depan.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Soompi