Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Pemuda 20 Tahun Cuba Dekati DJ Lin

Ahmad Shah 02/04/2016 | 19:51 MYT
Penyampai radio, DJ Lin mendedahkan ada pemuda berusia 20 tahun cuba mendekati dirinya.

DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid, 40, menceritakan yang ramai peminat lelaki cuba mendekatinya, termasuklah golongan lelaki muda.

"Saya tidak nafikan, semenjak saya mengendalikan segmen Suria Cinta dan menyandang status solo, ramai yang mahu mendekati saya. Ada yang datang dari golongan bujang, lelaki duda dan ada juga pemuda berusia 20 tahun.

“Mungkin mereka suka dengan cara saya mengendalikan segmen Suria Cinta. Saya mengambil pendekatan mudah dan saya melayan peminat saya dengan baik dan secara sama rata. Mengendalikan segmen yang bertemakan cinta, apa yang saya sampaikan datang daripada hati.

“Namun begitu, saya begitu bernasib baik kerana peminat yang cuba mendekati saya tidak bersifat keterlaluan. Mereka menghormati saya sebagai seorang wanita,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Finalis Anugerah Pilihan Online 2006 (APO2016) di Menara Star di sini petang Khamis.

Pada majlis sama, DJ Lin tersenarai sebagai calon akhir dalam kategori Penyampai Radio Pilihan Online APO di samping Fara Fauzana, AG, Johan dan Radin.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana tahun 2016 membawa rezeki dan tuah kepada saya. Sudah 10 tahun saya mengendalikan segmen Suria Cinta. Awal tahun ini, saya juga dinaikkan pangkat.

“Saya juga sangat berterima kasih kepada semua peminat kerana mereka masih menyokong kerjaya saya. Tahun ini juga, saya dicalonkan dalam APO2016 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Saya mengharapkan tahun 2016 terus akan memberikan tuah buat saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

#DJ Lin
;