Pemuda Maut Ditikam Gara-Gara Komen Hina Penyanyi Di Tiktok
Seorang pemuda maut selepas ditikam akibat meninggalkan komen menghina ketika siaran langsung TikTok seorang penyanyi tempatan dalam kejadian di Dusun Karangrejo, Desa Cluring, Banyuwangi pada Sabtu malam.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam di hadapan sebuah rumah, dengan mangsa dikenali sebagai Wiryadianto, 20, berasal dari daerah Cluring, disahkan maut di tempat kejadian akibat tikaman di dada.
Suspek, Kuncoro Dedi S, 22, dipercayai bertindak demikian selepas berang membaca komen mangsa terhadap siaran langsung TikTok milik teman wanitanya, SW, 19.
Menurut siasatan awal, Kuncoro yang berasa terhina dengan komen tersebut telah menjejaki mangsa dengan mendapatkan nombor WhatsApp mangsa melalui seorang rakan.
Namun, pertemuan yang sepatutnya untuk mendapatkan penjelasan bertukar menjadi tragedi apabila Kuncoro tiba-tiba menikam mangsa dengan senjata tajam.
Ketua Siasatan Jenayah (Kasatreskrim) Polresta Banyuwangi, Kompol Komang Yogi Arya Wiguna berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar sama ada tindakan pelaku memang dirancang atau berlaku secara spontan.
“Niat awal pelaku hanya untuk mendapatkan penjelasan, tetapi kami akan menyiasat sama ada terdapat niat untuk membunuh dari awal,” katanya.
Tambah beliau, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami luka parah pada bahagian dada kiri, menyebabkan kehilangan darah yang serius dan mengakibatkan kematian sebelum sempat menerima rawatan di hospital.
Pihak polis juga sedang menyiasat asal-usul senjata tajam yang digunakan serta latar belakang kejadian, termasuk kemungkinan ia telah dirancang lebih awal.
Sumber: Sinar Harian