Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mengakui dirinya seorang yang penakut tetapi tetap berani untuk membawakan watak sebagai seekor pontianak.

Menurut Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy, ini bukan kali pertama dia membawakan watak hantu demi peranan terbarunya sebagai Bella di dalam Gempak Original Series Ex Aku Pontianak

“Saya tak pernah tengok cerita hantu jadi bila kena jadi pontianak, saya cuba untuk imagine dan saya akan tanya orang di sekeliling, ni macam pontianak ke tak, haha. Saya terlalu takut untuk menonton filem hantu jadi memang saya elakkan. Saya ni pula penakut.

“Untuk rujukan, saya hanya ikut watak terdahulu di mana saya pernah menjadi hantu dalam filem Misteri Dilaila. Jadi saya cuba untuk jayakan watak ini dengan sebaiknya,” ujar Lizzy kepada Gempak.

Lizzy ditemui ketika majlis sidang media pelancaran Gempak Original Series Ex Aku Pontianak yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Jelas Lizzy lagi, walaupun dia sudah menceburi bidang lakonan dalam satu tempoh masa yang meyakinkan, dia masih bergelut dengan skrip kerana bahasa Melayu bukanlah bahasa pertamanya.

“Setiap watak yang saya dapat, saya risau jugak sebab bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya.

“Kalau boleh memang saya minta skrip awal sebulan supaya saya boleh go through semua. Saya cukup rissu kalau intonasi tak natural,” jelasnya lagi.

Drama ini mengisahkan seorang playboy bernama Malik lakonan Ikmal Amry yang diburu oleh bekas teman wanitanya, Bella lakonan Elizabeth Tan kerana bermain kayu tiga.

Malik terkejut apabila mengetahui Bella sebenarnya ialah seekor pontianak dan dia mendapatkan bantuan Suraya lakonan Raysha Rizrose, seorang pemburu pontianak yang mempunyai misi tersendiri untuk menghapuskan pontianak jahat seperti Bella yang cuba mengumpul kuasa baharu.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Ex Aku Pontianak pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Januari 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).

Ia turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.