Penampilan Tidak Sesuai Dengan Status Isteri, Adira Lali Dikecam Netizen
Penyanyi Adira akui tidak tertekan penampilannya sering dikecam di media sosial.
Isu mula timbul apabila netizen mempertikaikan gaya pemakaian Adira yang dikatakan tidak sesuai dengan statusnya sebagai seorang selebiriti dan isteri.
Sementara itu Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 25, ketika diminta mengulas tentang isu itu berkata, sudah lali berhadapan dengan situasi tersebut sejak bergelar anak seni.
“Sebenarnya saya okay sahaja sebab sebelum ini pun banyak sahaja gosip dan tohmahan yang melibatkan diri saya.
"Benda-benda macam ini menguatkan saya, kerana kalau saya ambil serius sakit hati dan tidak berbaloi.
“Orang kecam cara pemakaian tudung saya, tapi sejujurnya itulah penampilan yang paling selesa. Saya bukanlah terlalu kuno atau selekeh dan saya faham itu pendapat masing-masing. Asalkan menutup aurat dan bukan fesyen yang melampau,” kata Adira kepada Astro Gempak.
Adira ditemui ketika majlis tayangan perdana Program Raya Astro bertemakan #BerikanaMasa di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.
Menurut Adira, dia terkejut apabila ada sesetengah pihak mendakwa suaminya bersikap mengongkong sehingga mempengaruhi cara penampilannya.
“Saya selesa tanpa solekan jika tidak menghadiri majlis-majlis rasmi. Dari situ ramai tegur mengapa penampilan saya sebegitu rupa. Orang luar tidak tahu sebenarnya, mereka bercakap tanpa mengkaji. Saya ada kebebasan untuk lakukan apa sahaja terutamanya yang melibatkan fesyen.
“Suami tidak pernah mengongkong dan okay dengan cara pemakaian saya. Saya lega kerana suami tidak cepat melatah dan sentiasa tenang sekiranya saya dilanda sebarang kontroversi,” katanya.