Kumpulan K-Pop terkenal dunia, BTS sekali lagi mencatat rekod dalam pertumbuhan ekonomi Korea, lapor Awani.

Menurut laporan portal Seoul Broadcasting System (SBS), ‘band boy’ popular itu berjaya meraih pulangan lebih daripada lima trillion won (RM19.1billion) setiap tahun.

Sehingga kini, lebih 800,000 pelancong ke negara itu yang merupakan Army (peminat BTS) mengadakan lawatan ke Korea kerana pengaruh daripada bintang popular itu sendiri.


Menurut rekod, BTS yang telah mengadakan persembahan ‘Super Concert’ di Gwangju pada tahun lalu, berjaya menarik perhatian lebih 10,000 peminat antarabangsa kumpulan itu yang sekali gus memberi impak kepada aktiviti pelancongan di negara berkenaan.

Antara tempat menarik yang dikunjungi oleh BTS termasuklah restoran yang gemar mereka kunjungi kini menjadi destinasi pelancongan popular dan berjaya meraih keuntungan lebih sepuluh kali ganda!

Populariti mereka bukan sekadar memberi pulangan kepada sektor pelancongan, malah kepada industri makanan di Korea juga.

Menurut jurucakap Hyundai Research Institute, Oh Joon Bum, BTS memang tiada tolok bandingan.

“Apa yang BTS minum, pastinya akan diminum oleh peminat kumpulan itu sendiri ..." kata Joon Bum.

Budaya ini juga turut memberi impak kepada negara luar, contohnya sebuah kedai barangan Korea di London yang kini sudah berjaya membuka sejumlah tujuh cawangan sejak ia mula beroperasi pada 2011.


Antara makanan yang menjadi tumpuan di kedai tersebut ialah “naengmyun” (mee Korea), “jjajangmyun” (mee kacang hitam) dan “ddukbokki” (biskut beras pedas).

Terbaharu, BTS bakal tampil dengan permainan video ‘BTS World’ dan ARMY kini boleh menjadi ‘pengurus’ mereka.

BTS World boleh dimuat turun bermula pada 26 Jun ini.