Hiburan
Penangan Konsert Tujuh Datuk, Tiket Termahal RM5,000 Habis Dijual
Istana Budaya mencipta sejarah apabila tiket konsert termahal berharga RM5,0000 yang menampilkan tujuh penyanyi dengan gelaran datuk habis dijual.
Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada menampilkan Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusni Hamid, Datuk Leonard Tan dan Datuk Rossa yang bakal beraksi di Panggung Sari Istana Budaya pada 27 Februari ini.
Menurut Adinda Sultan Pahang yang juga merupakan penaung konsert, Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Sir Abu Bakar, sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan tiket termahal itu berjaya dijual selepas baru beberapa hari penjualan tiket dibuat.
“Alhamdulillah, Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada mendapat sambutan yang luar biasa sehingga tiket berharga RM5,000 habis dijual.
“Ini secara tidak langsung mengangkat martabat dan prestij Istana Budaya sebagai sebuah panggung bertaraf dunia.
“Tambahan pula, persembahan kali ini akan menampilkan gaya dan kepakaran teknologi pentas terkini yang pasti akan memukau penonton yang hadir,” katanya pada sidang media Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada bertempat di Istana Budaya pada Selasa.
Tengku Kamaruzzaman juga menyatakan konsert tersebut cukup istimewa kerana ia menampilkan tujuh barisan penyanyi yang telah menerima Darjah Kebesaran daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah konsert ini menampilkan tujuh nama penyanyi yang menerima Darjah Kebesaran daripada KDYMM Sultan.
Selain konsert, sebuah pameran Diraja juga turut diadakan secara percuma selama empat hari bermula dari 24 hingga 27 Februari ini di ruang legar, Istana Budaya sempena meraikan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-85 tahun.
Untuk mendapatkan tiket konsert, sila hubungi Encik Aizam (014-5223696) dan Encik Asrul (017-3910746).