Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Penantian 8 Tahun Berbaloi, Anak Loca B Dapat Status Warganegara Malaysia - “Tiada Lagi Lawatan Ke Kedutaan”

Asyikin Mayudin
17/03/2024 00:55 MYT
Akhirnya lapan tahun menunggu, penyanyi rap Loca B meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya iaitu Yusuf Alezander berjaya mendapatkan status warganegara Malaysia.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Loca B atau Nabilah Hani Azali, 32, berkata dia telah menerima panggilan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memaklumkan hal berkenaan.

"Saya pernah berkongsi perjalanan sukar untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak saya, Yusuf. Sekarang saya mahu berkongsi bahawa saya telah mendapat panggilan JPN.

"Yusuf akan menjadi warganegara Malaysia. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam perjalanan ini. Alhamdulillah untuk Ramadan kali ini,” kata Loca B yang berkongsi berita itu di TikTok miliknya.

Sementara itu dalam satu perkongsian berbeza penyanyi ini turut berasa syukur kerana tidak perlu lagi berulang-alik ke pejabat kedutaan untuk memperbaharui visa anaknya.

"Tiada lagi lawatan ke kedutaan," kongsinya lagi.

Untuk rekod, Yusuf, 8, merupakan anak sulung Loca B hasil perkahwinan terdahulu dan kanak-kanak tersebut dilahirkan di United Kingdom.

Loca B berkahwin kali kedua dengan penyanyi Tuju pada Mac 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya iaitu Bintang Aiko, dua tahun.

Sebelum ini, Loca B pernah meluahkan rasa kecewa apabila anak pertamanya itu tidak mendapat status kewarganegaraan kerana bekas suami bukan rakyat Malaysia.

undefined
#Loca B #Tuju #Anak Loca B #Loca B Tuju #Warganegara Malaysia
;