Syarikat rakaman COF Music telah memperkenalkan program realiti pertama mereka secara virtual iaitu COF LOCKSTAR.

Program yang memulakan pencarian peserta juga secara dalam talian sejak bulan lalu itu berjaya menerima lebih 2,000 penyertaan. Bagaimanapun, hanya 12 peserta terbaik layak ke peringkat seterusnya.

Daripada 12 peserta itu, satu peserta berkumpulan, satu secara trio, tiga rappers dan selebihnya solo.

Persembahan mingguan secara Live Stream telah membuka tirai pada Sabtu, 28 Ogos menerusi YouTube dan Facebook COF Music. Hari dan platform siaran akan dikekalkan setiap minggu pada jam 9 malam.

Bercakap mengenai kriteria pemilihan para peserta, Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, pihaknya mahu mencari bakat baru yang versatil dan berkualiti.

"Kami mencari bakat baru yang bagus, maksudnya di sini, peserta itu sudah bersedia untuk menjadi penyanyi," katanya dalam sidang media virtual pada Jumaat.

Dalam pada itu, Aman turut menjelaskan pihaknya tidak memilih peserta berdasarkan jumlah pengikut di platform media sosial.

"Saya tak pilih peserta berdasarkan jumlah followers mereka di media sosial.

"Perkara ini akan melibatkan usaha mereka dalam industri hiburan, namun kepada mereka yang sudah mempunyai followers yang ramai, itu mungkin boleh membantu mereka.

"Bagi yang masih belum mempunyai ramai followers, mungkin platform COF LOCKSTAR dapat membantu mereka nanti," jelasnya kepada Gempak.


Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim

Istimewanya, COF LOCKSTAR turut menampilkan lima penyanyi terkenal tanah air selaku juri profesional iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Altimet. Sementara, Ajak selaku hos program dan komposer, Pown Hasril selaku Pengarah Music.

Pemarkahan pertandingan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian penuh pihak juri, tiada undian peminat dibuka.

Hadiah pemenang adalah tempat pertama bernilai RM50,000 yang mana merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.

Sementara tempat kedua, membawa pulang RM5,555 beserta trofi dan pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi. Sementara itu turut disediakan dua kategori iaitu 'Most Creative' dan 'Most Viewers' yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.