Laman Utama
Pencarian Pendaki Gunung Suku: Lagi Cebisan Tubuh Manusia Ditemui…
Pasukan penyelamat menemui sebahagian lagi cebisan tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai, Perak pada petang Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata cebisan tubuh manusia itu dijumpai pada jam 4.30 petang semalam di lokasi penemuan kedua semalam.
“Petunjuk terkini pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan cebisan anggota badan mangsa di lokasi penemuan kedua semalam (kemarin)
“Namun, bahagian anggota mana, kami masih belum mengenal pasti kerana hanya cebisan anggota sahaja yang dijumpai," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Pada masa sama katanya operasi SAR dihentikan sementara pada hari ini ekoran faktor cuaca dan keadaan semakin gelap.
Menurutnya, operasi SAR dua pendaki wanita itu akan disambung semula pada jam 8 pagi Rabu.
Sementara itu, Timbalan Komander Operasi, JBPM Negeri, Umrani Che Mat pula memberitahu, suami mangsa telah mengesahkan beberapa cebisan pakaian yang ditemui oleh pasukan penyelamat hari ini adalah milik mereka.
“Cebisan pakaian iaitu baju yang ditemukan pasukan penyelamat tengah hari tadi sudah disahkan suami kepada dua mangsa itu petang ini," katanya.
Semalam, media melaporkan pasukan penyelamat menemukan separuh tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita di sekitar lokasi kejadian.
Dilaporkan, jurucakap JBPM Perak berkata, bahagian atas tubuh manusia itu ditemui jam 10.20 pagi.
Media sebelum ini melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku pada Ahad, dikhuatiri dihanyutkan kepala air.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.
Sumber: Awani
Must-Watch Video