BERITA

Pendaki Malaysia Cedera Parah, Patah Tulang Pinggul Jatuh Di Gunung Rinjani

Gempak 28/06/2025 | 04:55 MYT
Seorang pendaki warga Malaysia menjadi mangsa terbaharu kejadian kemalangan di Gunung Rinjani, Indonesia selepas dilaporkan terjatuh ketika dalam perjalanan menuju ke Danau Segara Anak, pada Jumaat.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang pinggul dan luka pada bahagian kepala selepas terjatuh kira-kira 200 meter sebelum tiba di jambatan ke lokasi tumpuan itu.

Ketua Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), Yarman mengesahkan kejadian yang berlaku sekitar jam 2.20 petang waktu tempatan itu dan memaklumkan operasi menyelamat digerakkan sejurus menerima maklumat awal.

“Maklumat awal menunjukkan mangsa masih mampu berjalan perlahan walaupun mengalami kecederaan pada kaki dan hentakan di kepala. Pasukan kami telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan rawatan kecemasan dan operasi menyelamat,” katanya kepada media pada Sabtu.


Menurut beliau, prosedur menyelamat dilakukan mengikut standard keselamatan ditetapkan, termasuk pemberian rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dibawa ke pos kawalan terdekat seperti Posko Sembalun.

Sekiranya memerlukan rawatan lanjut, mangsa akan dirujuk ke fasiliti kesihatan seperti Hospital Bhayangkara Mataram atau Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di daerah Sembalun.

Yarman dalam masa sama menasihatkan semua pendaki supaya lebih berwaspada dan tidak memandang ringan cabaran semasa melakukan pendakian di Gunung Rinjani.

“Topografi Rinjani sangat mencabar. Pendaki perlu berhati-hati, tidak memaksa diri sekiranya penat, dan segera berehat atau meminta bantuan jika berdepan kesukaran,” tegasnya.

Untuk rekod, ini merupakan insiden kedua membabitkan warga asing dalam tempoh seminggu di gunung berapi terkenal itu.

Pada 21 Jun lalu, seorang pendaki warga Brazil, Juliana Marins, 27, maut selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Rinjani, mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan laluan pendakian tersebut.

“Keselamatan harus menjadi keutamaan utama dalam setiap perjalanan,” tambah Yarman.-Agensi

Sumber: Sinar Harian