Viral
"Pendakwah & Jadi Popular Itu Patut Dihindari" - Syeikh Rohimuddin Mahu Lahirkan Ulama Berkualiti, Giat Cari Dana RM15 Juta Kembangkan Madrasah
Pengasas Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI), Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Banteni, akui tidak menggalakkan anak didiknya untuk bergelar pendakwah selebriti.
Sebaliknya, kata Syeikh Rohimuddin, PMNI yang terletak di Kuala Selangor itu bertanggungjawab melahirkan pendakwah yang mempunyai fokus sepenuhnya kepada agama, bangsa dan negara, jauh sekali mengejar populariti.
"Pada pendapat saya, mahu bergelar pendakwah atau pendakwah selebriti, bergantunglah kepada niat masing-masing. Di PMNI, kami tidak akan mendidik para pelajar madrasah ini ke arah menjadi pendakwah selebriti. Galakan atau seruan ke arah itu, tidak pernah ada dalam perancangan kami.
"Biarlah pendakwah yang dilahirkan dari PMNI ini memberi fokus untuk berkidmat kepada agama, umat, bangsa dan negara, di mana peranan itu lebih berguna dan bermanfaat," katanya kepada Gempak.
BERITA TRENDING: "Hidup Saya Sukar, Memang Langsung Tiada Job" - Da'i Syed Iqmal
BERITA TRENDING: PU Azman Dipenjara 24 Tahun, Dua Sebatan
BERITA TRENDING: “Pakcik Jangan Jerit..” - Pu Riz Terkejut, Sedih Di Marahi Jawatankuasa Masjid Ketika Berehat Tunggu Waktu Solat
BERITA TRENDING: Baby Shima Selar Tindakan Pendakwah Bebas Membisu Bila Kes Libatkan ‘Geng’ Sendiri - “Semua Senyap Sunyi Masuk Dalam Gua…”
Bagi Syeikh Rohimuddin, menjadi pendakwah selebriti adalah perkara yang patut dihindari oleh para pelajar PMNI kerana ia boleh mengundang kepada tanggapan negatif kepada agamawan apabila terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang menjadi bualan rakyat dan netizen."Bagi saya, jadi pendakwah yang dalam masa yang sama menjadi selebriti popular itu adalah perkara pertama yang patut dihindari bagi para pelajar madrasah ini.
"Saya nak sebut kata-kata ini, 'tanamlah benih pokok itu dalam-dalam (jangan suka diangkat-angkat), dia akan menumbuhkan pokok yang tinggi, rendang dan buahnya lebat.
"Memang kita tanam dalam-dalam kerana kita mahu matikan keinginan untuk menjadi popular. Ini bererti, kita ajarkan mereka menyiapkan diri, jiwa, ilmu yang mendalam, akhlak yang kuat. Perihal itulah maksud benih yang menghasilkan pokok yang tinggi, rendang dan mempunyai buah yang lebat.
"Populariti itu sesuatu yang kurang berfaedah bagi kami dalam konteks pengabdian kepada agama, negara, malah lebih daripada itu.
"Segelintir (bukan semua) pendakwah selebriti itu hanya pandai bercakap tetapi tak ada ilmu, tak ada akhlak," ujarnya.
Syeikh berkata demikian apabila diajukan media soalan tentang situasi segelintir pendakwah selebriti yang terpalit dengan kisah kontroversi.
Perlu dana RM15 juta
PMNI sedang merancang pembinaan prasarana baharu bernilai RM15 juta untuk meningkatkan keselesaan dan keberkesanan pendidikan.Bangunan ini akan dilengkapi kemudahan moden seperti kelas, surau, asrama, rumah tenaga pengajar, gelanggang futsal, dan teknologi canggih bagi menyokong pendidikan yang seimbang dari segi zahir, batin, dan akal.
Dengan pendekatan terkini, tempoh pembelajaran dapat dipendekkan daripada 15 tahun kepada 5 tahun, sebagaimana terbukti melalui kejayaan kumpulan perintis 2020-2024 yang kini menyambung pengajian di Mesir.
"Kami di PMNI mempunyai tujuan untuk melahirkan generasi yang dapat hidup di zaman ini (serba moden dan rencam) dengan penuh keseimbangan dari segi zahir, batin dan akal. Inilah yang kebisaaannya dimahukan oleh para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini.
"Demi melahirkan para pelajar yang berkualiti, sudah tentu PMNI memerlukan tempat belajar dan penginapan yang lebih selesa. Ia juga amat dituntut dalam Islam.
"Mudah-mudahan, bangunan baharu nanti membolehkan kami menambah bilangan pelajar dalam masa yang sama mengutamakan kualiti dalam diri mereka," ujarnya.
Pembinaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan. PMNI berharap sokongan melalui tajaan atau sumbangan daripada masyarakat dapat merealisasikan projek ini dalam tempoh lima tahun. Mereka menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu menjayakan usaha ini demi kemajuan institusi dan manfaat ummah.
Program pendidikan berkebajikan di PMNI, orang awam boleh taja
Pertubuhan Pendidikan PMNI yang ditubuhkan pada 2020 dengan aliran Tahfiz-Alim-Akhlak bertujuan melahirkan generasi ulama yang berkemampuan memimpin diri, masyarakat, dan generasi masa depan, khususnya di Nusantara.PMNI menyediakan tiga peringkat pendidikan, iaitu Pra-PMNI, Pengajian PMNI, dan Kuliah Al-Isyraq, dalam tempoh lapan tahun.
Kini, seramai 23 pelajar sedang mengikuti pengajian yang merangkumi Asas Bahasa Arab, hafazan Al-Quran, hadis, matan asas, serta pembentukan adab, dengan lima pelajar generasi pertama telah menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Pada Mei 2023, PMNI melancarkan Program Pendidikan Berkebajikan bagi memberi peluang kepada masyarakat menaja pengajian pelajar terpilih sehingga tamat. PMNI berfungsi bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga sebagai ekosistem untuk memurnikan sistem Pengajian Pondok di alam Melayu, memberi manfaat berterusan kepada ummah.
Melalui inisiatif ini, hasrat PMNI untuk menyediakan pendidikan percuma daripada ummah, kepada ummah demi manfaat bersama, diharap dapat direalisasikan meskipun belum sepenuhnya tercapai sejak penubuhannya empat tahun lalu.
PMNI kekal komited untuk melaksanakan Program Pendidikan Berkebajikan, memastikan penuntut ilmu mendapat peluang belajar tanpa beban kewangan. Yuran rendah yang dikenakan tidak pernah dinaikkan sejak awal, membuktikan kesungguhan mereka.
PMNI turut mengalu-alukan sumbangan masyarakat melalui akaun bank MAYBANK: 5541 1052 1332 (Pertubuhan Kebajikan Al Isyraq Nusantara), demi menyokong usaha melahirkan generasi ulama yang bermanfaat untuk ummah.
Must-Watch Video