Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pendakwah Terkenal Indonesia Syeikh Ali Jaber Meninggal Dunia, Negatif COVID 19

Maliah Surip
14/01/2021 12:25 MYT
Indonesia hari ini menerima khabar duka setelah ulama terkenal Syeikh Ali Jaber disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Jakarta, Khamis, 14 Januari 2021 sekitar pukul 8.30 WIB.

Syeikh Ali Jaber meninggal dunia pada usia 44 tahun. Sebelumnya, sejak akhir tahun lalu, beliau telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana positif COVID 19. Namun, kondisinya dilaporkan membaik pada 4 Januari lalu.

Malah, salah seorang sahabatnya, Ustaz Yusuf Mansur menjelaskan bahawa berpulangnya Ali Jaber bukan kerana COVID 19.

"Benar Syeikh Ali meninggal (pukul) 08.30 sudah dalam keadaan negatif Covid di RS Yarsi Cempaka Putih, Jakarta. Innalillahi Wainnailaihi Rojiun. Kita semua kehilangan," tulis Ustaz Yusuf Mansur di Instagramnya.

Nama Ali Jaber menjadi popular dan disayangi masyarakat Indonesia selepas beliau muncul menjadi juri dalam sebuah pertandingan berjudul Hafiz Indonesia yang disiarkan salah satu stesen televisyen republik tersebut.

Beliau juga sering muncul di kaca televisyen sebagai penceramah malah sempat terbabit dalam sebuah filem pada tahun 2016 iaitu Surga Menanti.

Pada tahun 2019, beliau pernah ditusuk pisau oleh orang tak dikenali sewaktu memberi ceramah. Namun, saat itu keadaannya tidak parah.

Ironi, Ali Jaber lahir di Madinah, namun beliau mendapat kewarganegaraan Indonesia pada tahun 2011.

Dalam sebuah ceramahnya, pada tahun 2016 silam, beliau pernah mengungkapkan keinginan meninggal dan dimakamkan di Lombok. Beliau mengaku Lombok banyak meninggalkan kesan kepada dirinya,

"Ketika saya di Lombok ini, saya merasa nyaman. Pertama, saya berjuang di Indonesia memang di Lombok. Anak saya lahir Lombok.

"Salah satu datuk saya meninggal, mati syahid karena lawan jajah Jepun di Lombok," ucap Ali Jaber dalam tanyangan di saluran Ai Liee Cha dengan tajuk 'Syeikh Ali Jaber Ingin Wafat di Pulau Lombok' pada 4 Oktober 2016.

Beliau kemudian berdoa untuk dimakamkan di Lombok.

"Jadi hubungan saya dengan Lombok bahkan saya bercita-cita 'Ya Allah kalaupun saya mau milih dan memohon meninggal di Madinah, tapi kalau saya menetapkan meninggal di Indonesia mohon saya mahu dimakamkan di Lombok'," kata Syeikh Ali Jaber.

Meski demikian, pihak keluarga Ali Jaber memutuskan untuk mengebumikan almarhum di kawasan Pesantren Tahfiz Darul Quran, di Tangerang.

Kredit Foto: Facebook Syeikh Ali Jaber

#Indonesia #Lombok #Pendakwah #Madinah #COVID 19 #Syeikh Ali Jaber