Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Pendarahan On Off, Disyaki Alami Autoimun” - Ungku Ismail Update Keadaan Nad Zainal

Amri Hassan
23/11/2022 12:54 MYT
Pelakon Nad Zainal yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital KPJ Ampang Puteri disyaki mengalami penyakit autoimun dan perlu diberikan pemantauan rapi.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan pelakon, Ungku Ismail yang menerima pengesahan daripada doktor mengenai tahap kritikal Nad.

“Doktor memaklumkan mereka belum dapat mengenal pasti punca yang mengakibatkan pendarahan berterusan dalam paru-paru Nad.

“Sehingga kini perdarahan tersebut terus berlaku namun menurut penjelasan doktor, Nad juga mengalami penyakit autoimun yang memerlukan dia menerima suntikan stereoid berdos tinggi,” katanya yang ditemui di KPJ Ampang pada Rabu.

Turut hadir menziarahi Nad, pengarah terkenal, Shahrulezad yang memaklumkan doktor sedang berusaha mengeluarkan darah yang berkumpul dalam paru-paru.

“Saya dimaklumkan pendarahan dalam paru-parunya berterusan berlaku dan doktor sedaya upaya mengeluarkan darah dalam organ tersebut.

“Ahli keluarga juga telah dimaklumkan tentang keadaan semasa Nad dan sudah berada di hospital,” ujarnya.

Selain Ungku dan Shahrulezad yang kini berada di hospital, terdapat beberapa rakan artis lain yang menziarahi Nad antaranya Sharifah Amani, Elvina Mohamad, Nabila Huda, Bella Astilah dan suami Aliff Aziz.

Bekas suami pelakon itu, Faliq Amiruddin bersama dua anaknya, Budi Kalsom dan Fahad Ibrahim turut berada di hospital.

Industri hiburan dikejutkan dengan perkongsian Ungku Ismail yang memaklumkan Nad berada dalam kritikal.

Pelakon drama Cina Buta itu terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke ICU susulan mengalami paru-paru berdarah.

Semalam, Nad, 32, dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dua hari mengalami masalah kesihatan yang dipercayai akibat simptom Long Covid.

Difahamkan, Nad pernah dijangkiti Co­vid-19 pada 13 Mac lalu, namun tidak mengalami sebarang gejala teruk.
#Nad Zainal #Ungku Ismail #Nad #Nad ICU